Follow Me on Twitter

Sunday, July 11, 2010

Kahwin dan Cerai: Isu berkait

Entri ni sebenarnya untuk menjawab persoalan yang dikemukakan seorang rakan namun ingin aku publishkan jua sekadar ingin berkongsi kepada sesiapa yang terbaca blog ni...

Perkahwinan dan perceraian adalah dua perkara yang sering terjadi di kalangan masyarakat kini tanpa kita sedari. Entri ini hanya ingin mengupas secara umum isu-isu yang timbul berkait dengan dua perkara tersebut lebih kepada peruntukan undang-undang. (Negeri Selangor)

PERKAHWINAN: ANTARA ISU BERKAIT;

ADAKAH RUKUN NIKAH TELAH DIPENUHI?

Bakal suami, bakal isteri, wali dan dua orang saksi merupakan rukun nikah yang wajib dipenuhi. Sekiranya tidak dipenuhi maka perkahwinan tersebut tidak sah dari hukum syarak dan undang-undang.

Seksyen 11, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 – Selepas ni disebut EUKIS;

Sesuatu perkahwinan adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah.

Seksyen 12, EUKIS;

(1) Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Enakmen ini tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini.

(2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40 (2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah daripada Mahkamah
.



PERSETUJUAN WALI DAN KEUTAMAANNYA

Adakah wali bersetuju? Sekiranya wali enggan, adakah terdapat permohonan bagi wali hakim dan adakah wali hakim membenarkan perkahwinan? Permohonan wali hakim juga melibatkan perkahwinan bawah umur. Adakah wujud wali yang mempunyai kedudukan lebih utama, di saat perkahwinan dipersetujui wali bukan mujbir? (wali mujbir - ayah dan datuk) Rujuk Ismail lwn Aris Fadillah.

Seksyen 13, EUKIS;

Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada—
(a) wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak; atau

(b) Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadnikahkan oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak, persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.


ADAKAH PERMOHONAN BAGI KEBENARAN BERKAHWIN TELAH DIBUAT?

Permohonan kebenaran berkahwin hendaklah dipohon melalui borang yang telah ditetapkan mengikut tempat bermastautin. (Seksyen 16, EUKIS 2003) Ini bagi mengelakkan perkahwinan dilangsungkan oleh jurunikah yang tidak bertauliah sepertimana yang berlaku apabila pasangan memilih berkahwin di sempadan Thai.

ADAKAH PERKAHWINAN POLIGAMI SEORANG SUAMI SUDAH MENDAPAT KEBENARAN MAHKAMAH?

Setiap lelaki yang ingin berpoligami hendaklah memenuhi syarat berpoligami secara berasingan, di mana setiap syarat patut dan perlu, kemampuan, adil dan tidak menyebabkan darar syarie, (Seksyen 23, EUKIS 2003) perlu dipenuhi tanpa mengenepikan mana-mana syarat. Mana-mana poligami tanpa kebenaran mahkamah akan dikenakan tindakan undang-undang.

Seksyen 124, EUKIS;

Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

PERKAHWINAN ANTARA ORANG ISLAM DAN BUKAN ISLAM, SUDAHKAH PETISYEN PERCERAIAN DIBUAT?

Mengikut Seksyen 46, EUKIS;

(1) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

Walaupun apabila salah satu pihak memeluk Islam dengan sendirinya membatalkan perkahwinan tersebut, namun dari segi undang-undang sivil ia masih belum terbatal selagi pihak yang tidak memeluk Islam (pasangan pihak yang memeluk Islam) belum memfailkan petisyen perceraian.

Seksyen 51, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976;



PERCERAIAN: ANTARA ISU BERKAIT;

ADAKAH PERCERAIAN MENDAPAT KEBENARAN MAHKAMAH?

Setiap perceraian perlu mendapat kebenaran mahkamah. Ini merupakan prinsip yang paling utama. Perceraian di luar kebenaran mahkamah akan dikenakan tindakan undang-undang.

Seksyen 125, EUKIS;

Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk diluar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

APAKAH JENIS PERCERAIAN, SERTA BILANGAN TALAK?

Ada perceraian yang boleh dirujuk atau tidak boleh dirujuk. Soal talak raj’i (talak satu dan dua) serta tempoh iddah perlu diteliti bagi menentukan sahnya rujuk. Perceraian dengan talak tiga menghapuskan hak rujuk serta memerlukan akad yang baru setelah bekas isteri berkahwin lain dan kemudiannya bercerai. Perceraian jenis li’an memfarakkan pasangan buat selama-lamanya.

SOAL NUSYUZ DAN PEMBERIAN MUT’AH SERTA NAFKAH ATAU TUNGGAKAN NAFKAH ISTERI

Adakah isteri pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah?Sekiranya tidak maka isteri yang diceraikan layak menerima mut’ah dan nafkah.

Seksyen 66, EUKIS;

(1) Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri menjadi nusyuz.

(2) Hak isteri yang diceraikan untuk menerima pemberian daripada bekas suaminya di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti di atas perkahwinan semula isteri itu.

ADAKAH HAK NAFKAH ANAK TERHAPUS?

Perceraian yang berlaku tidak memutuskan tanggungjawab bapa memberikan nafkah kepada anak. Pada kebiasaannya, si bapa sentiasa mengelak daripada membayar nafkah anak apabila berlaku perceraian.

Seksyen 74, EUKIS;

(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya—
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;

(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri;

(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain; atau

(e) apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah seksyen 23..

ADAKAH ISTERI MASIH MEMPUNYAI HAK TEMPAT TINGGAL?

Ya! Sering kali yang dipertontonkan di TV apabila terjadinya perceraian, isteri dihalau atau pun isteri dengan rela hati keluar daripada rumah sedangkan isteri itu masih mempunyai hak tempat tinggal. Hikmahnya adalah agar suami dipermudahkan untuk merujuk kembali.

Seksyen 72, EUKIS;

(1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

(2) Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) akan terhenti—
(a) jika tempoh ‘iddah telah tamat;

(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat;

(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula; atau

(d) jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah),

dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.


SIAPAKAH BERHAK MENJAGA ANAK?

Pada asasnya, ibu adalah orang yang paling layak bagi menjaga kanak-kanak sama ada sebelum atau selepas perceraian. Namun, prinsip utama yang diambil oleh mahkamah adalah soal kebajikan kanak-kanak tersebut.

PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian merupakan  harta yang diperolehi oleh pihak-pihak bercerai dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka. Apabila berlaku perceraian, maka mahkamah berhak memerintahkan agar harta sepencarian itu dibahagikan (Seksyen 122, EUKIS).

Inilah isu-isu secara umum yang dapat dikongsikan. Perkara-perkara yang melibatkan peruntukan hendaklah diambil berat agar tidak timbul masalah di kemudian hari. Namun, hendaklah terlebih dahulu memahami hukum syarak yang ditetapkan dalam kedua-dua soal perkahwinan dan perceraian ini.