Follow Me on Twitter

Monday, August 16, 2010

Bunuh diri? Permohonan dah disahkan-Nya ke?


Merujuk kepada entri yui92, mengenai isu bunuh diri. Pada pendapat aku, mereka yang tergamak membunuh diri adalah mereka yang tidak dapat menerima ujian yang ditimpakan ke atasnya. Tiada jalan penyelesaian dapat dilihat kerana sudah tiada harapan dan putus asa.

Aku rasa mungkin boleh dikongsikan entri aku sebelum ini tentang ‘Sepatutnya vs Sebenarnya’. Aku cuba meletakkan diri aku dalam situasi orang yang putus asa dan mungkin inilah yang difikirkan:

“Sepatutnya, aku lebih baik mati dari dahulu lagi. Sepatutnya semua ini tak terjadi pada aku.”

Mari lihat dari perspektif orang yang tidak putus asa.

“Sebenarnya, Allah mahu menyedarkan aku supaya kembali mengingati-Nya. Sebenarnya, dugaan ini menjadikan aku orang yang tabah untuk menghadapi dugaan mendatang yang lebih besar.”

Jangan pernah berhenti mengharap kepada Allah di samping usaha untuk mengubah nasib sendiri atau mencari jalan penyelesaian selain drpd membunuh diri. Allah sentiasa bersama kita.

Aku kongsikan juga hadis Qudsi yang merupakan kalam Allah melalui lafaz Nabi Muhammad s.a.w. Diharap anda dapat menghayatinya.

Firman Allah Taala yang bermaksud,

Wahai anak Adam, tidak Aku jadikan kamu sia-sia dan terdinding. Aku tidak lupa dan aku sangat mengetahui terhadap hal-halmu. Tidak sekali-kali kamu peroleh darjat di sisi-Ku melainkan dengan bersabar atas perkara yang kamu tidak sukai semata-mata kerana menuntut keredhaan-Ku. Bersabar untuk mentaati-Ku itu lebih mudah daripada bersabar melakukan maksiat.

Meninggalkan dosa itu lebih mudah bagimu daripada merasai kepanasan azab neraka. Azab dunia itu lebih ringan bagimu daripada azab akhirat. Wahai anak Adam, setiap kamu itu sesat kecuali mereka yang mendapat petunjuk-Ku. Setiap kamu bersalah melainkan Aku memeliharanya.

Bertaubatlah kepada-Ku nescaya Aku akan mengasihimu. Janganlah kamu menyembunyikan sebarang rahsia daripada Tuhan yang tidak tersembunyi bagi-Nya sebarang rahsia.”

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah)

Dalam hal seharian kita sebagai pelajar mahupun pekerja, apabila kita tidak dapat melibatkan diri dalam apa-apa program berwajib atau tugasan, kita pasti akan menulis surat alasan dan menyertakan sijil cuti sakit sebagainya kepada pihak atasan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Adakah mereka yang hendak membunuh diri untuk mengelak daripada ‘program kehidupan’ oleh Allah telah berbuat sedemikian rupa? Mustahil bukan? Sebab ‘program kehidupan’ ini adalah hak mutlak Allah dan hanya kepada-Nya urusan ‘pengecualian’ peserta. Tetapi realitinya, manusia lebih takutkan manusia.

Firman Allah Taala yang bermaksud,

“Barang siapa yang berpagi-pagi dalam keadaan berdukacita terhadap dunia, tidak akan bertambah hampir ia kepada Allah melainkan bertambah jauh. Tidak akan bertambah di dunia melainkan keletihan. Tidak akan bertambah di akhirat melainkan kepayahan. Allah akan mencampakkan rasa dukacita yang berterusan, kesibukan yang tiada kerehatan, kefakiran yang tidak memperoleh kekayaan dan angan-angan yang memanjang ke dalam hatinya.

Wahai anak Adam, setiap hari umurmu berkurangan, sedangkan engkau tidak menyedarinya. Setiap hari Aku memberi rezeki kepadamu tetapi engkau lupa untuk memuji-Ku. Tidak memadai bagimu terhadap apa-apa yang sedikit. Tidak pula engkau merasa puas terhadap apa yang banyak.

Wahai anak Adam, tidak ketinggalan suatu hari pun melainkan datang daripada-Ku rezeki untukmu, tetapi pada malam harinya Aku didatangi malaikat mempersembahkan amalan kejahatan daripadamu. Kamu makan rezeki-Ku kemudian kamu membalasnya dengan melakukan kederhakaan kepada-Ku.

Kamu memohon kepada-Ku lalu Aku memperkenankan permohonan itu. Kebaikan daripada-Ku, sentiasa mengalir kepadamu dan kejahatan daripadamu sampai kepada-Ku. Sesungguhnya Aku adalah sebaik-baik Tuan kepadamu dan engkau adalah sejahat-jahat hamba kepada-Ku.

Engkau menanggalkan daripada-Ku apa-apa yang Aku berikan kepadamu. Aku tutupkan kejahatan demi kejahatanmu. Aku malu terhadapmu tetapi engkau tidak merasai malu dengan-Ku. Engkau melupai-Ku dan mengingati selain-Ku. Engkau merasa takut kepada manusia tetapi merasa aman terhadap-Ku. Engkau merasa gentar dengan marah manusia tetapi engkau merasa aman terhadap kemurkaan-Ku.”

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah)

Semoga entri ini menjadi pengajaran buat kita semua yang masih hidup agar terus bersemangat meneruskan kehidupan kerana-Nya.