Follow Me on Twitter

Tuesday, August 31, 2010

Eh, dah merdeka ye?


Alhamdulillah, secara zahirnya kita tidak lagi dijajah oleh mana-mana pihak lagi. Pihak Inngeris akhirnya bersetuju memberikan kemerdekaan kepada negara ini dan pada tanggal 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah melaungkan laungan merdeka. Laungan yang disambut dengan semangat cintakan negara dan jati diri yang tinggi.

Namun di sebalik kemerdekaan itu, ada sesuatu yang tidak kita sedari atau pun diambil mudah. Aku bukan ingin bercakap soal pemikiran barat dan pengaruh budaya-budaya hedonisme. Tetapi ada sesuatu yang perlu diperbaiki atau diTRANSFORMASI terlebih dahulu.

Mari kita bermula dengan bentuk jajahan Inggeris terlebih dahulu. Secara umumnya, Inggeris mula bertapak dengan membawa masuk undang-undang England ke Pulau Pinang melalui Piagam Keadilan Pertama pada tahun 1807. Kemudian, Piagam Keadilan Kedua dilaksanakan pada tahun 1826 bagi meluaskan kuasa Mahkamah Keadilan Prince of Wales Island ke Singapura dan Melaka yang telah disatukan dengan Pulau Pinang sebagai Negeri-Negeri Selat.

Pada tahun 1855, Piagam Keadilan Ketiga dilaksanakan untuk menyusun semula mahkamah yang sedia ada. Pada masa ini, undang-undang Inggeris dikuatkuasakan namun kononnya dibuat penyesuaian supaya tidak membawa kezaliman dan penindasan.

Kemudian, sistem residen mula diperkenalkan di negeri Perak (1874), Selangor (1875), Pahang (1888) dan Negeri Sembilan (1889). Residen  menjadi penasihat dalam pentadbiran kecuali dalam HAL EHWAL ISLAM dan ADAT ISTIADAT.

Muhammadan Marriage Ordinance 1880 digubal bagi memasukkan unsur pentadbiran dalam urusan perkahwinan dan kekeluargaan. Skop HAL EHWAL ISLAM menjadi sempit dan hanya berkaitan bab kekeluargaan.

Pada 1907, undang-undang harta dan perwarisan diiktiraf sebagai Hukum ADAT MELAYU. Undang-undang jenayah ADAT diganti dengan Kanun Keseksaan berdasarkan Indian Penal Code dan Criminal Procedure Code.

Undang-undang Inggeris digubal maka terhasil Enakmen Undang-Undang Sivil 1937 >>Ordinan Undang-Undang Sivil 1951>> Ordinan Undang-Undang Sivil 1956>> Perluasan Ordinan Undang-Undang Sivil 1951 ke Sabah Sarawak (1971)>> Akta Undang-Undang Sivil 1956 (pindaan 1972) dikuatkuasakan ke seluruh Malaysia.

Cukuplah kita melihat sejarah. Lihat pada masa kini, betapa Inggeris telah berjaya mengukuhkan pengaruhnya dalam undang-undang. Walaupun pelbagai enakmen telah digubal seperti Enakmen Wakaf, Enakmen Jenayah Syariah, tetapi ia tidak cukup untuk mengikis fahaman masyarakat yang beranggapan Islam hanya berkaitan hal kekeluargaan serta ibadah wajib seperti solat dan puasa.

Belum lagi jika dilihat dari aspek perlaksanaan. Adakah sesuatu yang berkaitan Islam itu dilaksanakan demi tuntutan SYARIAT atau ADAT. Oleh sebab itu, tidak hairan kalau ada yang berpuasa tetapi tidak solat kerana hanya ikut-mengikut sesuatu yang dianggap kebiasaan.

Berapa ramai yang sedar bahawa Islam itu gaya hidup dan bukan sekadar solat lima waktu, mengaji al-Quran, berpuasa, zakat dan menunaikan umrah dan haji. Berapa ramai juga yang tahu ilmu fiqh bukan hanya berkaitan ibadah, tetapi meluas dalam cabang-cabang tertentu seperti muamalat, munakahat, jinayat, kenegaraan, politik dan perwarisan.

Disebabkan itu tidak hairan jika masalah zina, pembuangan bayi dan masalah sosial yang lain berleluasa apabila Islam dipisahkan daripada hal ehwal kehidupan dan hanya tertumpu pada ibadah wajib sahaja. Sedangkan ibadah itu luas asalkan melakukan sesuatu kerana Allah dan tidak melanggar larangan-Nya.

p/s:Pesanan buat diriku sendiri dan masyarakat. Manusia memang mudah takut pada sesuatu yang dia tidak tahu/kenal. Jadi marilah kita sama-sama mengenal kesempurnaan Islam.