Follow Me on Twitter

Saturday, August 7, 2010

Mahu jadi Raja Tort?

Assalamualaikum…

Aku baru sahaja selesai membaca novel John Grisham yang aku beli dalam bentuk novel terjemahan, King of Torts. Habis juga aku membacanya sebab pada masa yang sama aku membaca buku yang lain. Jadi, apa yang dapat aku cerita tentang novel ini:



John Grisham berjaya membawa pembaca untuk turut serta dalam perjalanan hidup watak seorang peguam bela awam di Washington D.C, Clay Carter yang pada mulanya mempunyai tugas mewakili tertuduh-tertuduh dalam kes jenayah yang tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi membela diri. Jadi, tidak menghairankan apabila dia terpaksa mewakili tertuduh bagi satu lagi kes pembunuhan rambang jalanan.

Namun, seseorang hadir dalam hidupnya, mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa pembunuhan tersebut mempunyai kaitan dengan syarikat farmasi yang ingin menutup kesilapan mereka.

Maka, bermulalah tugas baru Clay Carter apabila dia berhenti daripada Pejabat Pembela Awam lalu membuka firmanya sendiri. Clay kemudiannya menemui kesemua keluarga mangsa bunuh bagi kes bunuh sama berpunca daripada ubat yang dihasilkan syarikat farmasi misteri itu untuk urusan pembayaran pampasan tanpa tuntutan.

Plot cerita diolah dengan baik, apabila pembaca dibawa menilai Clay Carter, daripada seorang peguam yang tidak mementingkan kemewahan, hingga 15 juta dollar sebagai yuran perkhidmatan mengubah segalanya. Sumber dalamannya kemudian menawarkan bukti terdapat kes kesan sampingan ubat keluaran syarikat lain. Tindakan undang-undang yang difailkan ke atas syarikat itu kemudiannya menaikkan nama Clay di kalangan peguam-peguam Tort berkumpulan. Kejayaan kes tersebut membuatkan dirinya digelar ‘King of Torts’.

Klimaks mudah dijangka apabila Clay dan kumpulan peguam tindakan berkumpulan dihentam teruk atas ketamakan untuk meraih yuran perkhidmatan satu pertiga daripada anak guaman berbanding benar-benar menuntut keadilan bagi mereka. Satu persatu menimpa Clay termasuk keengganan sebuah syarikat farmasi mega menawarkan penyelesaian, malah inginkan sebuah perbicaraan yang Clay sendiri tidak punya pengalaman untuk membicarakan kes tort. Sedangkan apa yang Clay tahu hanya mencari seberapa ramai anak guam, failkan kes, tuntut jalan penyelesaian dan raih satu pertiga yuran perkhidmatan tanpa memikirkan soal integriti terhadap anak guam.

Namun, novel ini masih menarik untuk dibaca. Terdapat banyak ragam baik dan buruk peguam tort yang digambarkan serta boleh dijadikan iktibar. Begitu juga kehidupan Clay yang berdepan dengan kemewahan mendadak dan bagaimana dia membelanjakannya. Nilai persahabatan dan percintaan juga digarap dengan baik dan tidak berlebihan.

Jadi, kepada peminat John Grisham dan novel undang-undang, karya ini harus dibaca oleh anda! (semangatnya aku haha)