Follow Me on Twitter

Tuesday, August 31, 2010

Malam kemerdekaan vs Malam 21 Ramadan

Malam kemerdekaan negara

Pada malam kemerdekaan 31 Ogos ini, aku ingin mengambil peluang mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan yg ke 53 buat Malaysia negaraku tercinta. Kemerdekaan yang dikecapi dengan perginya penjajah negara kita. Kemerdekaan yang bermakna kebebasan. Namun harus diingat, ia bukanlah kebebasan mutlak tetapi masih terikat dengan perkara tertentu.

Ibarat burung yang terbang bebas, tetapi masih berpaksikan tarikan graviti, lalu mengikatnya agar tidak terbang keluar dari atmosfera bumi. Begitu juga kemerdekaan yang dikecapi pada malam ini bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja yang di luar daripada nilai-nilai agama dan moral.

Sambutlah kemerdekaan dengan penuh rasa bersyukur kerana tidak lagi dijajah pada zahirnya walaupun sebenarnya kita masih dijajah dari segi pemikiran dek kerana unsur-unsur pentadbiran penjajah yang telah diterapkan sejak dahulu lagi.

Jika malam kemerdekaan ini dianggap sebagai malam kemenangan atas kemerdekaan yang telah dikecapi negara selama 53 tahun, maka adalah lebih baik meraikannya dengan bersyukur kepada Allah, lebih-lebih lagi dengan hadirnya bulan Ramadan yang pernuh berkat.

Ayat 1-3,Surah an-Nasr 

Malam 21 Ramadan

Bermulanya episod atau fasa baru dalam bulan Ramadan. Permulaan kepada 10 malam terakhir yang menjanjikan malam Lailatul Qadar. Juga menjanjikan saat yang semakin hampir ke arah kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan sebenar yang dikecapi dengan nilai takwa yang dibina setelah berakhirnya Ramadan. Takwa yang terbentuk dengan takutkan Allah, mendekati ajaran Al-Quran, serta meredai segala ketentuan-Nya.

 Ayat 183, Surah al-Baqarah

Kemerdekaan sebenar juga bermaksud, dengan berkat malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan, kita dibebaskan daripada api neraka, yang pastinya lebih baik daripada jaminan syurga. Mengapa? Jaminan masuk syurga tidak menjanjikan jaminan kita bebas daripada api neraka. Namun, dengan pembebasan daripada api neraka sudah pasti menandakan kita akan terus memasuki syurga Allah s.w.t.

Ayat 1-5, Surah al-Qadr

Marilah sama-sama memanfaatkan permulaan 10 malam terakhir di bulan Ramadan.