Follow Me on Twitter

Monday, August 23, 2010

Mari mengenal Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum…semoga sihat hendaknya anda semua pada hari ini. Sekiranya kurang sihat, percayalah bahawa ianya juga merupakan nikmat dan rahmat daripada Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

Ok, berbalik kepada apa yang hendak dikongsikan. Pada kebiasaannya, masyarakat Islam pada masa kini lebih suka melakukan sesuatu mengikut musim-musim tertentu. Beramal soleh di bulan Ramadan, tetapi lalai di bulan-bulan yang lain. Begitu juga halnya dengan mengingati baginda Rasulullah s.a.w, kebiasaannya baginda hanya dirai pada Hari Maulidur Rasul sahaja.

Jadi, apa kata kalau kita sentiasa mengingati baginda setiap masa. Kalau dengan orang lain kita boleh ingat, maka pastinya kita lebih mengingati Rasulullah s.a.w nabi junjungan kita.

Kenapa kita boleh ingat orang lain seperti kekasih hati, sahabat, rakan sekerja, bos, sahabat blogger dan sebagainya? Sebab kita mengenali mereka walaupun tidak kenal sepenuhnya.

Bagaimana dengan Nabi Muhammad s.a.w? Adakah kita turut mengenali baginda sepenuhnya atau cuma tahu serba sedikit mengenai baginda? Tidak mengapa jika pada awalnya kita hanya tahu serba sedikit mengenai baginda tetapi kita mestilah berusaha untuk mengenali baginda dengan sepenuhnya supaya baginda dapat dijadikan teladan dan contoh dalam kehidupan seharian.

Bermula dari kelahiran dan keturunan baginda, Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan di kota Mekah pada malam isnin 12 Rabiul Awal bersamaan tahun gajah pada tahun Masehi 570. Baginda berketurunan bangsa Arab Quraisy yang terus menerus bersambung dengan Nabi Ibrahim as melalui anaknya Nabi Ismail as.

Terdapat tiga campuran darah bangsa dalam diri baginda iaitu darah bangsa Babil, iaitu darah Nabi Ibrahim yang mengalir dalam tubuh Nabi Ismail, darah bangsa Qibti, iaitu darah Siti Hajar yang turut mengalir dalam tubuh Nabi Ismail, serta darah bangsa Arab Jurhum yang mengalir dalam tubuh isteri Nabi Ismail as.

Salasilah keturunan Nabi Muhammad  s.a.w ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhir bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Maad bin Adnan

peta minda yang tak berapa nak peta

Hanya 20 orang datuk-datuk Nabi Muhammad s.a.w yang terbukti kesahihannya serta merupakan orang-orang besar dan tokoh-tokoh ternama di zaman masing-masing. Gelaran ‘Quraisy’ itu sendiri beerti ‘pembahagi roti’ yang digelar kepada datuk baginda Fihr bin Malik atas sifat dermawannya mengumpul roti lalu dibahagikan kepada orang-orang haji yang kelaparan. Maka, gelaran itu berterusan sehingga kini menunjukkan kemuliaan orang Arab yang berketurunan Quraisy.

Begitulah salasilah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Maka, cukup sampai di sini dahulu. Kita akan mengenali baginda sedikit demi sedikit agar maklumat lebih mudah diingati.