Follow Me on Twitter

Thursday, August 26, 2010

Saat kelahiran insan teragung

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w disambut oleh Siti Syifa’, selaku bidan dan ibu kepada sahabat baginda Sayyidina Abdul Rahman bin Auf. Ketika saat baginda dilahirkan pada malam Isnin 12 Rabiul Awal bersamaan tahun 570 Masihi, terdapat beberapa keajaiban yang dialami Siti Syifa’ dan ibu baginda Siti Aminah. (Ada riwayat mengatakan Ummu Aiman yang menyambut kelahiran) Begitu juga di beberapa tempat tertentu.

Keajaiban tersebut adalah:

- Nabi tidak menangis seperti kanak-kanak lain saat dilahirkan, tetapi bersin sama seperti selepas Nabi Adam as dimasukkan roh oleh Allah ke dalam badannya. (Hanya Allah yang mengetahui hikmahnya)

- Suasana terang di rumah Abdullah seperti di siang hari walhal hanya diterangi cahaya pelita.

- Kaum arab Quraisy ketika itu begitu kuat mempersekutukan Allah dan masih berpegang teguh dengan agama nenek moyang. Maka tidak hairanlah terdapat berhala-berhala yang diletakkan di sekeliling Kaabah. Namun, berhala-berhala ini tumbang seperti ditolak tenaga dari arah Kaabah pada saat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

- Api rakyat Farsi beragama Majusi yang tidak pernah padam terpadam dan Istana Maharajanya, Kisra bergoncang.

Itulah keajaiban yang berlaku di saat kelahiran insan teragung yang bakal menjadi Nabi umat akhir zaman, nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran yang penuh rahmat daripada-Nya ke seluruh alam.

Setelah kelahiran baginda, pada awalnya datuk baginda, Abdul Muttalib hendak menamakan cucunya itu dengan nama Qutsam. Namun, Siti Aminah menceritakan hal mimpi yang dialaminya mengenai satu lembaga yang menyuruhnya menamakan anaknya itu Muhammad (Insan Yang Terpuji) Abdul Muttalib kemudiannya terkejut kerana jarang ada orang yang menamakan anaknya. Dengan nama yang begitu indah serta merasakan itu adalah suara dari tuhan dalam mimpi menantunya maka beliau bersetuju dengan nama tersebut.

Maka, diberilah nama Muhammad bin Abdullah kepada junjungan mulia kita, Nabi Muhammad s.a.w, manusia teragung.