Follow Me on Twitter

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Salam Ramadhan kepada semua blogger dan rakyat Malaysia yang beragama Islam. Marilah kita sama-sama menghayati Ramadhan pada kali ini. Semoga bulan yang mulia ini benar-benar dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Islam.

Sebelum tibanya Ramadhan yang mulia, ingin aku memberi pesanan kepada diriku dan kepada semua blogger, seterusnya kepada seluruh penganut agama Islam.

Bulan Ramadhan merupakan bulan di mana kita wajib menahan lapar dan dahaga selama 30 hari bagi menyempurnakan ibadah puasa selagi mana tiada keuzuran atau rukhsah untuk berbuka.

Namun, janganlah kita hanya memikirkan untuk menahan nafsu lapar dan dahaga kerana terdapat nafsu lain yang perlu dijaga agar tidak menjejaskan ibadah puasa kita. Seluruh pancaindera dan anggota badan hendaklah dikawal agar tidak melakukan apa yang dilarang-Nya.

Abu Huraira meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“ Puasa itu adalah perisai, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa, janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh, jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya, maka hendaklah dia katakan pada orang itu, ‘Saya sedang berpuasa’ “.
(Al-Bukhari, Jilid 3, Bahagian 31, Hadis 118)

Apabila tiba saat berbuka, janganlah terlalu mengikut kata nafsu tika membeli juadah berbuka puasa. Belilah sekadar untuk kita menghilangkan rasa lapar dan dahaga agar kita dapat mengelakkan sebarang pembaziran dan kemalasan untuk menunaikan solat sunat tarawih. Janganlah bersikap seperti ‘membalas dendam’ akibat seharian menahan lapar dan dahaga, maka semua juadah hendak ditelan. Sedangkan matlamat ibadah puasa antaranya mengajar kita mengawal nafsu dengan berdisiplin.

Tidak perlu juga rasanya kita terlalu berkira-kira tentang bajet raya sedangkan Ramadhan belum sampai seminggu. Elakkan drpd terpengaruh dengan jualan murah supaya kita tidak membeli apa-apa yang tidak perlu. Ambillah peluang pada bulan Ramadhan ini untuk melihat kesusahan orang lain dan belajar membezakan antara keperluan dan kehendak.

Marilah kita sama-sama berlumba-lumba ‘top up’ ibadah kita dengan ikhlas dan tawaduk. Janganlah pula ibadah yang banyak menjadikan kita bersikap riak lalu memperkecilkan amalan orang lain. Ketahuilah urusan dosa dan pahala adalah milik Allah. Tidak mustahil seseorang yang memberi sebuku roti kepada fakir miskin di bulan Ramadhan lebih diterima amalannya berbanding kita yang solat sunat tarawih 20 rakaat.

Sama-sama kita menanti Ramadhan! Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan!