Follow Me on Twitter

Monday, August 30, 2010

Tiada istilah sudah terlambat

Assalamualaikum buat pembaca. Semoga hari–hari yang dilalui memberi saat yang penuh bermakna. Hari-hari yang perlu dilalui dengan perjuangan. Perjuangan yang jangan disempitkan hanya kepada perjuangan menentang musuh di medan perang. Tetapi ia merangkumi segala aspek kehidupan kerana agama Islam itu sendiri agama perjuangan.

Manusia kadang kala tidak dicipta untuk banyak peluang. Oleh itu, kita sentiasa dinasihatkan untuk tidak melepaskan peluang yang ada. Antaranya, peluang hidup yang cuma sekali. Maka hiasi dan penuhilah hidup kita dengan perkara baik.

Namun, adakalanya kita perlu mencipta peluang berbanding daripada menunggu peluang. Supaya ia menjadi sesuatu yang lebih baik buat orang lain. Tiada istilah ‘sudah terlambat’ untuk mencipta peluang. Lebih-lebih lagi peluang untuk terus berjuang dalam agama Islam kerana ia pasti memberi kebaikan yang tidak terkira.

Buktinya? Aku tertarik dengan apa yang diceritakan penceramah jemputan di masjid dua malam lepas. Cerita tentang seorang lelaki tua yang telah hidup 70 tahun bergelumang dengan penyembahan berhala. Lelaki tua yang kemudiannya didatangi utusan Allah yang menyerunya untuk menyembah Tuhan Yang Esa, Allah.

Pada mulanya dia menolak, melainkan anaknya yang sakit berjaya disembuhkan. Utusan Allah hanya mampu berdoa dan dengan izin Allah anak lelaki tua itu sembuh. Maka Allah memberi hidayah kepadanya untuk menerima kebenaran yang dibawa oleh utusan Allah itu.

Utusan Allah kemudiannya meneruskan dakwahnya ke kaum lelaki tua tersebut, dan dakwahnya ditolak. Kisah ini diceritakan dalam Surah Yaasiin.

Surah Yaasiin, ayat 13-19. Mengenai utusan yang diutus kepada kaum (menurut riwayat, kaum Anthakiyah) serta reaksi kaum itu terhadap utusan.


Surah Yaasiin, ayat 20, 23-26. Lelaki tua mendengar perkhabaran mengenai reaksi kaumnya lalu bergegas menyeru kaumnya agar menerima kebenaran.


Lelaki tua itu dibunuh kaumnya. Malaikat kemudiannya datang memberitahu berita gembira bahawa dosanya diampunkan dan dia ditempatkan di syurga Allah.

Walaupun hidup bergelumang dengan dosa mempersekutukan Allah selama 70 tahun, namun atas perjuangannya menyeru kaumnya menerima seruan utusan Allah telah membuatkan dosanya diampunkan Allah. Itulah nilai perjuangan yang dilakukannya tanpa merasai bahawa sudah terlambat baginya untuk berjuang. Malah lelaki tua itu mahu mencipta peluang buat kaumnya, agar kaumnya tidak terus sesat dalam mempersekutukan Allah.

Inilah yang kita mahukan. Namun, perlu diingatkan sekali lagi, konsep perjuangan itu adalah luas. Jika kita sedang menuntut ilmu, itu juga merupakan perjuangan bagi kita. Begitu juga dalam aspek lain seperti kerjaya dan rumahtangga. Asalkan perjuangan itu membawa kepada kebaikan dan membolehkan kita mencipta peluang untuk orang lain.

p/s:blogging juga salah satu perjuangan, maka blogger seorang pejuang ^___^