Follow Me on Twitter

Friday, September 24, 2010

Dari Baitul Maqdis ke Kaabah dan hikmahnya


Khutbah Jumaat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor tadi mengupas tentang pembebasan al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis. Dan antara isinya ada menyebut bahawa Baitul Maqdis merupakan kiblat sembahyang ketika Nabi Muhammad s.a.w di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan sembahyang mengadap Baitul Maqdis selama 16 bulan ketika berada di Madinah. Walaubagaimanapun hati baginda resah kerana lebih menyukai Kaabah dan baginda tidak suka syariat agama baginda, iaitu agama Islam, serupa dengan syariat agama Yahudi dan Nasrani.

Kenapa 16 bulan?

Kiblat yang ditetapkan pada mulanya ke Baitul Maqdis adalah bertujuan untuk memikat hati orang yahudi Madinah lantas mereka memeluk Islam. Namun, dalam tempoh 16 bulan itu tidak nampak sebarang perubahan mereka menyukai Islam, malah semakin membencinya. Disebabkan ini, baginda mengharapkan agar Allah mengubah arah kiblat ke arah Kaabah.

Nabi Muhammad s.a.w sering mendongakkan wajah baginda yang indah dan suci kerana terlalu mengharapkan hasrat baginda diperkenankan Allah. Dan akhirnya ketika baginda mengerjakan solat asar, Allah telah menurunkan wahyu-Nya, yang bermaksud,

Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahwa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.
Al-Baqarah:144

Hikmah perubahan kiblat?

Munculnya 3 golongan yang cuba mempertikaikan perubahan kiblat itu. Supaya ianya menjadi pengetahuan buat baginda sendiri serta orang-orang mukmin.

Golongan pertama

Di kalangan orang yahudi mula berkata,

“Wahai Muhammad! Mengapakah sekarang engkau mulai berpindah kiblat dari kiblat yang sekian lama engkau menghadapnya? Sedangkan engkau adalah seorang nabi yang mengikut agama Nabi Ibrahim dan nabi Bani Israil yang terdahulu? Bukankah elok engkau kembali menghadap Baitul Maqdis, nanti kami ikut dan membenarkan engkau.”

Sedangkan dalam tempoh 16 bulan yang telah diberikan tidak pula mereka ini mahu mengikut Nabi Muhammad s.a.w, nabi junjungan mulia kita.

Golongan kedua

Di kalangan kaum musyrikin Quraisy berkata,

“Muhammad itu tidak mempunyai pendirian yang tetap. Ketika di Mekah, sembahyangnya menghadap Kaabah, apabila lari ke Yathrib, dihadapkan pula ke arah kiblat orang yahudi. Sekarang ini ke Kaabah kembali. Tidak mustahil satu hari nanti ke Baitul Maqdis semula. Kenapa ada orang yang masih ingin mengikut orang yang tidak berpendirian tetap. Alangkah bodohnya pengikut Muhammad.”

Sedangkan merekalah yang tenggelam dalam kejahilan dan keegoan. Masing-masing sebenarnya mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w, tapi atas alasan pangkat dan adat, nenek moyang, mereka tidak dapat menerimanya.

Golongan ketiga

Di kalangan munafik Madinah pula berkata,

“Jika kiblat dulu benar, pastinya yang ini tidak benar. Jika yang ini benar, pastinya dulu tidak benar.”

Jika hati tidak mahu, pastinya 1001 alasan diberikan. Ketiga-tiga golongan ini tidak akan berpuas hati sekalipun kiblat diubah semula. Maka sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui menjawab ketiga-tiga golongan ini dengan menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w, yang bermaksud,

Orang-orang yang kurang akalnya diantara manusia akan berkata: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?" Katakanlah: "Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus”
Al-Baqarah:142

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.
Al-Baqarah:143