Follow Me on Twitter

Wednesday, September 29, 2010

Dendam yang masih membara

Bercakap tentang dendam, patutkah berdendam? Adakah bila kita tidak berdendam untuk membalas semula perbuatan jahat orang ke atas kita, lalu kita dikatakan pengecut? Adakah berdendam digalakkan dalam Islam? Pada pandangan aku sendiri, berdendam bukanlah sikap seorang mukmin yang mencontohi sikap Nabi Muhammad s.a.w.

Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melayan api dendam dalam kehidupan baginda. Buktinya, Nabi Muhammad s.a.w memaafkan dosa Hindun binti Utbah yang pernah menyeksa mayat bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Muttalib yang terkorban di medan Uhud. Mayat Hamzah diseksa dengan memotong kedua kuping telinganya, bibir mulut dan dibelah perut lalu dikeluarkan hatinya. Namun, Hindun tidak dapat memakan hati Hamzah kerana dengan kehendak Allah dia memuntahkannya kembali.

Kemudian, setelah Islamnya Hindun binti Utbah pada hari pembukaan Kota Mekah, bersama suaminya Abu Sufyan bin Harb yang terlebih dahulu memeluk Islam, nabi kita yang agung telah memaafkannya dalam peristiwa baiat yang dibuat Hindun. Lihatlah betapa mulianya nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.

 Gambar game ini tiada kaitan. Game yang aku belum habiskan sebab tiada graphic card.

Islam sendiri mempunyai jalan serta undang-undang yang disediakan bagi mereka yang teraniaya dan dizalimi. Maka, untuk mengelakkan api dendam, Islam mensyariatkan hukuman qisas ke atas setiap pelaku jenayah yang mendatangkan kecederaan atau kematian dengan syarat-syarat tertentu.

Tetapi, mungkin aku boleh ceritakan berkenaan qisas lebih lanjut dalam entri yang lain. Untuk entri kali ini aku hanya hendak berkongsi rasa dendamku yang belum padam. Ya, mungkin aku belum mencontohi baginda, Rasulullah s.a.w.

Sepatutnya, kisah ini aku ceritakan sebaik sahaja pulang dari Sarawak 2 minggu lepas. Kerana api dendam ini hanya akan dilunaskan di Sarawak. Kerana di sanalah terjadinya peristiwa ‘pertumpahan darah’.

Lupakan tentang isu perebutan tanah di kampungku yang terletak di Kuching. Ketamakan seorang jiran hingga sanggup menjadikan tanah jirannya hak sendiri. Peristiwa yang membuakkan rasa dendamku berlaku di kampung yang terletak di Kota Samarahan. Di sebalik suasana aman, masih ada lagi yang ingin membuat ‘kacau’.

Aku tak kisah kalau ianya berlaku di bandar, kerana ia pastinya tidak mendatangkan kesan. Tapi kejadian di kampung itu telah memberikan parut kepadaku. Mungkin aku bukan budak kampung jadi senang dibuli.

Mungkin pergerakanku lambat ketika di kebun kerana kaki selalu terbenam dalam lumpur, tetapi aku masih paling laju berlari apabila dikejar anak anjing. Mungkin aku takutkan buaya, tapi tidak bermakna aku tak tahu berenang. Mungkin aku tak begitu pandai memanjat pokok kelapa, tapi aku boleh habiskan air kelapa muda sekelip mata.

Jadi jangan ingat aku mudah dibuli. Hanya kerana jumlah yang ramai kau menyerang aku dan sepupu-sepupuku. Jangan ingat kau sudah biasa dengan selok belok hutan kau boleh melayan kami seperti tentera, menembak kami tanpa belas kasihan.

Raya baru-baru ini pun sempat kau ‘hadiahkan’ parut di tangan aku. Jadi, aku takkan lupa semuanya. Dendamku masih membara. Tunggu sahaja kepulanganku di lain waktu.

~~~
~~~
~~~



Mujur sahaja kau juga makhluk ciptaan Allah yang tidak dijadikan sia-sia, membuatkan aku sentiasa terlupa dendamku sebaik di sana. Walaupun badanku seakan-akan hancur di’tembak’ kumpulan tentera kau semasa aku melawat kebun. Cis..nyamuk...Jagalah...

p/s:sedar tak sedar, panjang pula aku taip...Nyamuk kampung memang kebal dan bisanya lain sikit. Setuju? Sampai berparut tangan aku disebabkan luka digigit nyamuk.