Follow Me on Twitter

Friday, September 24, 2010

Kekalahan di medan Uhud satu mitos


Sekadar entri perkongsian.

Sejak di sekolah lagi rasanya aku sering diberitahu bahawa tentera Islam pernah mengalami kekalahan di medan Uhud, berpunca daripada sikap ghairah pasukan pemanah tentera Islam ke atas harta rampasan perang. Sedangkan apa yang sebenarnya berlalu adalah kemenangan yang besar. Berkenaan dengan apa yang berlaku hanyalah kerana kemurkaan Allah dan kemenangan itu tidak dapat dikekalkan.

Firman Allah dalam surah Ali’Imran, ayat 152 yang bermaksud;

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan diantara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu, dan sesunguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang orang yang beriman.”

Walaupun tentera musyrik pada ketika itu sibuk memperkatakan tentang kemenangan mereka, tetapi mereka langsung tidak dapat menunjukkan sebarang bukti kemenangan melainkan hanya dapat menyiksa mayat-mayat tentera Islam yang terkorban syahid termasuklah mayat bapa saudara Rasulullah s.a.w, Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Sedangkan kemenangan sebenar secara total adalah apabila mereka berjaya menawan negeri yang diserang dan  jumlah kematian bukanlah menandakan kekalahan di pihak tentera Islam ketika itu.

Hal ini disedari tentera musyrik sendiri apabila mereka berkumpul di sebuah tempat bernama Hamratul Asada yang terletak 8 batu dari Madinah. Mereka ke sana setelah mengumumkan tamatnya perang yang berlangsung dari subuh hingga zohor pada 15 Syawal Tahun ke3 Hijrah. Mereka merasakan betapa silapnya mereka kerana tidak menawan kota Madinah.

Setelah mesyuarat dibuat, masing-masing kemudiannya bersetuju untuk kembali ke Madinah dan menawannya. Namun, rancangan itu dibantah oleh salah seorang pemimpin mereka, Safwan bin Umayyah bin Khalaf, kerana merasakan tentera Islam pastinya bersiap sedia untuk membalas.

Pada ketika itu, salah seorang sahabat, Abdullah bin Amru al-Mazini turut mendengar mesyuarat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w rancangan mereka.

Baginda kemudiannya berangkat bersama pasukan Uhud seramai 629 orang ke Hamratul Asada pada pagi keesokannya. Ketika dalam perjalanan, pasukan baginda terserempak dengan lelaki dari suku Khuza’ah, Ma’bad bin al-Khuza’i yang tanpa kerenah terus memeluk Islam pada ketika itu.

Ma’bad kemudiannya dihantar nabi untuk menyampaikan propaganda ke atas tentera musyrik yang masih belum mengetahui Islamnya Ma’bad.

“Tentera Islam telah menyiapkan satu pasukan dengan jumlah tentera yang besar dan tidak pernah dilihat sebelum ini. Mereka sedang ke mari” khabar Ma’bad kepada kaum musyrik.

Abu Sufyan bin Harb ketika itu mula goyah tetapi pada masa yang sama tidak mahu dikatakan pengecut bahawa dia cuba lari daripada tentera Islam. Lalu Abu Sufyan membalas,

“Beritahu kepada Muhammad dan tenteranya bahawa Abu Sufyan bin Harb dan askarnya akan tiba sebentar lagi menggempur Madinah”

Tetapi sebenarnya dia dan bala tenteranya bergerak kembali ke Mekah kerana gentarkan kedatangan bala tentera Muhammad s.a.w.

Adakah itu dapat dikatakan pasukan musyrik telah menang di medan Uhud? Tidak sama sekali. Jika dikatakan mereka menang kerana nabi berundur juga tidak benar sama sekali. Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w tidak berganjak dari medan perang walaupun mengalami kecederaan hasil serangan balas, melainkan hanya cuba mencari tempat perlindungan.

Ya, mungkin ia hanya sejarah. Sehebat mana pun tentera Islam satu ketika dahulu, jika iman kita tidak kuat, tetap tidak dapat menyamai mereka. Dan pada masa kini, mungkin bukanlah kehebatan peperangan yang kita mahukan, tetapi semangat cintakan agama Islam itu sendiri, cintakan Allah dan Rasul-Nya. Serta sejauh mana kita boleh membantu mencegah kemungkaran yang berlaku pada dunia akhir zaman ini.

Sumber rujukan: Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.