Follow Me on Twitter

Wednesday, September 15, 2010

'Kiamat' kecil Datuk Sosilawati

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kekejaman yang berlaku ke atas Datuk Sosilawati dan tiga yang lain yang telah dibunuh dan dibakar. Abu mayat mereka kemudian dibuang ke laut. Begitu juga kekejaman samun dan bunuh yang sanggup dilakukan seorang jiran terhadap jirannya.

Namun, aku bukan ingin mengulas lanjut tentang pembunuhan tersebut mahupun motif pembunuhan itu dilakukan. Sememangnya perbuatan yang kejam itu tidak menghairankan berlaku menjelang dunia akhir zaman ini. Bila mana darah manusia lain sewenangnya dihalalkan antara satu sama lain berlandaskan ketamakan, nafsu dendam, dan hasad dengki.

Islam menentang keras perbuatan membunuh orang lain sesuka hati. Ini ada disebut melalui firman-Nya dalam surah an-Nisaa', ayat 4;


Ada juga diriwayatkan dalam hadis 40, pada hadis yang ke-14;

Daripada lbnu Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud;

“Darah seseorang muslim tidak halal kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; orang berkahwin yang berzina, nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri daripada jamaah.”

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya pada dunia akhir zaman menjelang kiamat, menurut apa yang diriwayatkan Mu’az bin Jabal, dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud;

“Enam di antara tanda-tanda kiamat, kematianku, penaklukan Baitul Maqdis, kematian yang berlaku pada manusia bagaikan bulu domba (kibas) yang berjatuhan, fitnah yang masuk ke setiap rumah orang Islam, seseorang yang diberikan 1000 dinar namun masih belum puas, dan bangsa Rom berkhianat lalu mereka datang dengan 80 panji di mana setiap panji 12,000 pasukan.”

Sehinggakan diriwayatkan dari Abu Hurairah, dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud;

“Tidak akan datang hari kiamat, sehingga seseorang melalui kubur seseorang, lalu dia berkata, alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempatnya.”

Ini menunjukkan betapa seseorang itu menjelang hari kiamat merasakan dirinya lebih baik mati daripada hidup. Dan dikatakan manusia yang masih hidup pada saat berlakunya kiamat adalah seburuk-buruk manusia. Menurut riwayat dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud;

“Hari kiamat tidak akan berlaku sehingga tidak diucapkan lagi di permukaan bumi kalimat Laa Ilaha Illallah (tiada yang berhak disembah melainkan Allah).”

Rasulullah s.a.w turut bersabda yang bermaksud;

“Hari kiamat tidak akan berlaku pada seorang yang mengucapkan Allah..Allah..”

Dan terdapat dua pendapat ulama yang tidak dapat aku ketahui secara terperinci kerana hanya merujuk secara umum pada karya terjemahan kitab arab Al-Nihayah Fi al-Fitan wa al-Malahim yang ditulis Ismail bin Katsir al-Quraisy ad-Dimasyqi (Ibn Katsir). (Karya terjemahan itu disemak Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz).

Pendapat pertama, tafsiran tentang orang yang menyebut kalimah Allah itu adalah orang yang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Maka jika berlaku hari kiamat, ia menandakan sudah tiada lagi yang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

Manakala pendapat kedua, hari kiamat yang berlaku itu jelas menunjukkan bahawa manusia telah fasik, kufur dan rosak sama sekali. Maka dengan itu amatlah jelas bahawa manusia yang hidup ketika hari kiamat adalah seburuk-buruk manusia yang tidak mengenal Allah.

Namun, apa yang lebih jelas, seperti mana yang difirmankan Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 187, bahawasanya soal bila berlakunya hari kiamat itu adalah pengetahuan Allah s.w.t yang tidak diketahui manusia melainkan tanda-tanda kiamat yang diberitakan baginda Rasulullah s.a.w.



Maka, kekejaman yang melampau di kalangan manusia kini menunjukkan sikap manusia yang tidak mengenal Allah s.w.t. Pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain seperti menandakan manusia semakin menghampiri  saat keburukannya. Begitu juga dengan kekejaman lain seperti samun bunuh dan pembuangan bayi.

Persoalannya, adakah kita berusaha untuk mencegah sebarang kemungkaran dan mengambil berat tentang apa yang mencurigakan berlaku di sekeliling kita? Jika tidak, adakah kita sama sahaja seperti manusia yang terburuk? Jika ya, maka bersiap sedialah menghadapi hari kehancuran.

Sumber Rujukan: karya terjemahan kitab arab Al-Nihayah Fi al-Fitan wa al-Malahim (Malapetaka bakal menimpa menjelang kiamat) oleh Ismail bin Katsir al-Quraisy ad-Dimasyqi (Ibn Katsir).

p/s: Takziah kepada semua keluarga mangsa. Bersabarlah atas ketentuan-Nya.