Follow Me on Twitter

Monday, September 27, 2010

Mengharap hidayah-Nya

Hidayah Allah adalah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Setelah mengetahui tentang itu, patutkah kita berasa selesa menerima jaminan syurga daripada-Nya? Patutkah kita berasa selamat hanya kerana nama Islam kita serta status agama Islam pada kad pengenalan? Sedangkan perlakuan seharian tidak menunjukkan kita seorang yang beragama Islam malah jauh sekali untuk mengharap keredhaan dan hidayah-Nya.



Hal berkenaan hidayah ini ada dijelaskan dalam hadis 40, dalam hadis yang ke 4, yang bermaksud;

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
 (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim) 

Mari kita sama-sama merenung kisah pelindung Nabi Muhammad s.a.w, iaitu bapa saudara baginda, Abu Talib.

Nabi Muhammad s.a.w amat menyayangi bapa saudara baginda yang telah menjaga baginda sejak kecil. Apabila baginda diangkat menjadi Rasul, Abu Talib adalah salah seorang yang diharapkan oleh baginda untuk memeluk Islam. Namun, apabila Abu Talib diajak untuk memeluk Islam, Abu Talib menjawab,

“Wahai anak saudaraku, sesungguhnya aku tidak sanggup berpisah dengan agama orang tuaku yang terdahulu dan apa-apa yang dilakukan oleh mereka. Sungguhpun demikian, demi Allah, tidak akan ada sesuatu apa pun yang engkau benci yang dapat sampai kepadamu selama aku masih hidup”

Abu Talib kemudiannya bersyair;

Demi Allah! Mereka semua tidak akan dapat sampai kepadamu
Sampai saya dipendamkan dalam tanah
Teruskanlah pekerjaanmu dengan tidak usah takut
Serta bergembiralah dengan hati yang tenang

Engkau meminta aku memeluk agama ini serta menasihatiku
Sebenarnya engkau orang yang benar lagi amat dipercayai
Engkau membawa satu agama, yang saya percaya itulah agama
Yang sebaik-baiknya dari segala agama

Akan tetapi kalau tidak memikirkan kritk dan penghinaan
Nescaya engkau dapati aku telah memeluk agama ini

Sememangnya Abu Talib bertindak menjadi pelindung nabi kita. Semasa hidupnya Abu Talib, para musyrikin Quraisy hanya mampu mengejek dan mempersendakan nabi. Air liur mereka pun tidak dapat mencapai nabi, inikan pula kaki dan tangan mereka. Ini kerana betapa takutnya mereka kepada Abu Talib.

Pernah terjadi dalam peristiwa di mana samseng musyrikin Quraisy meletakkan najis unta di atas belakang nabi yang sedang sujud di Ka’abah. Abu Talib yang mendengar berita tersebut terus menghunus pedang sambil berjalan ke Ka’abah. Lalu diletakkannya pula najis unta itu di atas belakang badan samseng-samseng itu

Di saat kematiannya, Nabi Muhammad s.a.w masih belum berputus asa dan begitu mengharapkan agar bapa saudara baginda mati sebagai seorang muslim dengan mengajar bapa saudaranya mengucapkan kalimah tauhid.

Namun, ketika itulah datang 2 ‘syaitan’, Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mengejek Abu Talib bahawa sungguh bodoh seorang tua mengikut budak atau seorang bapa saudara mengikut anak saudara yang menjadi pemimpin.

Akhirnya Abu Talib berkata, “Aku tetap di atas agama Abdul Muttalib.”

Selesai kisah Abu Talib, jadi sekarang mari kita renungi kisah Abu Sufyan bin Harb. Abu Sufyan bin Harb adalah salah seorang yang pernah menjadi musuh Nabi Muhammad s.a.w. Namun sebelum pembukaan Kota Mekah, Abu Sufyan datang ingin berjumpa nabi bersama bapa saudara nabi, Al-Abbas bin Abdul Muttalib.

Sebelum tiba di khemah nabi di luar Kota Mekah, Al-Abbas dan Abu Sufyan perlu melepasi khemah tentera-tentera Islam. Dan pada ketika itulah Sayyidina Umar al-Khattab melihat kelibat Abu Sufyan dan serta merta tahu bahawa Al-Abbas pasti ingin memohon syafaat nabi untuk Abu Sufyan. Maka dia memecut baghal ke arah khemah nabi untuk sampai terlebih dahulu lalu meminta supaya dia dibenarkan memenggal leher Abu Sufyan.

Namun, Al-Abbas juga tidak kurang cerdiknya untuk mengetahui niat Umar, lalu dia juga memecut baghal nabi yang ditunggangnya. Maka berlakulah perlumbaan dan ternyata baghal nabi lebih kuat dan laju lariannya. Baghal Umar ketinggalan di belakang dan pada ketika itu Umar melihat gelagat Abu Sufyan yang memegang erat belakang Abbas seakan-akan budak kecil yang ketakutan duduk di belakang ayahnya.

Lihatlah, Abu Sufyan yang selama ini begitu memusuhi Islam akhirnya mengakui kebenaran ajaran baginda lalu memeluk Islam di hadapan Nabi Muhammad s.a.w. Itulah hidayah Allah buatnya dan disebabkan itu juga Allah tidak menarik nyawanya ketika Perang Khandak di mana Huzaifah bin Al-Yamani  benar-benar mempunyai peluang untuk membunuh Abu Sufyan dengan busur dan anak panahnya.

Maka, kesimpulannya, hendaklah kita sentiasa mengharapkan hidayah Allah dan janganlah merasakan Islamnya kita ketika ini sudah cukup. Kita tidak tahu, kemungkinan satu hari nanti fitnah Dajjal menarik kita ke lembah kekafiran.

Namun, janganlah soal hidayah ini dijadikan alasan untuk kita melakukan maksiat sepuas mungkin dan mengatakan, “nanti sampai masanya, aku bertaubatlah” atau “insya Allah, sampai seru aku berubah”. Berusahalah untuk menerima hidayah Allah kerana jika tidak, mungkin hidayah Allah sememangnya tiada buat kita lalu dikhuatiri kita mati dalam keadaan bergelumang maksiat.