Follow Me on Twitter

Saturday, September 4, 2010

Saat kanak-kanak insan teragung


Assalamualaikum, entri pada kali ini kembali mengupas dan berkongsi sedikit sejarah secara ringkas tentang Nabi Muhammad s.a.w, nabi mulia junjungan kita semasa kecil. Sejarah yang didalami melalui pembacaan kitab Riwayat Rasulullah s.aw. Edisi Lengkap susunan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.


Seperti yang kita sedia maklum, baginda dilahirkan tanpa kehadiran ayahanda baginda, Abdullah bin Abdul Muttalib dan hanya mempunyai ibunda baginda, Siti Aminah binti Wahab. Ketika Siti Aminah melahirkan nabi, ramai wanita dari kaum Badwi datang ke Kota Mekah untuk mengambil upah menyusu bayi ibu-ibu yang kaya serta mempunyai suami.

Tidak ketinggalan juga Halimatus binti Abu Zu’aib as-Saaadiah, yang lebih dikenali dengan Halimatus Saadiah, isteri kepada al-Harith bin Abdul Uzza yang turut mengharap agar dirinya dapat mengambil upah menyusu seorang bayi walaupun bayi itu tidak mempunyai bapa.

Dengan kehendak Allah, Halimatus Saadiah tiba di hadapan rumah Abdullah bin Abdul Muttalib dan setelah menyampaikan hasrat hatinya kepada Aminah, Halimatus Saadiah dibenarkan membawa pulang nabi ke perkampungan Badwi Bani Saad bin Bakar, yang terletak di antara Kota Mekah dan Taif.

Berkat dengan menyusukan nabi, susunya serta susu unta dan kambing miliknya dan suami yang selama ini kering, menjadi penuh dan nabi menyusu bersama anak Halimatus Saadiah sehingga tertidur.

Nabi kemudiannya dijaga dengan baik sekali dalam persekitaran perkampungan Bani Saad yang begitu tenang, serta aman dalam udara yang baik hingga baginda membesar dengan sihat. Baginda disusukan hingga umur baginda genap 2 tahun.

Apabila sudah genap 2 tahun, Halimatus Saadiah memulangkan semula nabi kepada Siti Aminah, namun disebabkan rasa sayang yang sudah sebati dalam dirinya, Halimatus Saadiah memohon agar dapat memelihara nabi kita sekali lagi.

Pada pendapat diri ini yang terbatas ilmu pengetahuannya, persekitaran perkampungan Bani Saad itu merupakan tempat yang sesuai untuk tumbesaran baginda kerana tempat itu pastinya mempunyai pengudaraan yang baik serta jauh daripada gejala sosial masyarakat di samping hidup dalam keadaan sederhana. Disebabkan itu, Allah menghendaki agar nabi sekali lagi dipelihara Halimatus Saadiah di perkampungan itu.

Nabi kemudiannya dipelihara sehingga umur baginda mencapai 4 tahun 2 bulan. Dalam tempoh pemeliharaan itu, baginda menjalani kehidupan yang sederhana di samping bergaul dan bermain bersama saudara susuan baginda. Nabi kita juga turut sama membantu menjaga dan memelihara kambing milik keluarga susuannya.

Nabi Muhammad s.a.w juga ketika kecilnya telah dibiasakan dengan bahasa Arab yang fasih, kerana baginda tinggal di kalangan Bani Saad yang terkenal dengan satu-satunya kabilah yang paling fasih bahasa arabnya. Ini kemungkinan sebagai persediaan dan latihan kepada baginda untuk mudah menyampaikan dakwah melalui ayat-ayat al-Quran yang begitu indah bahasanya.

Jika difikirkan memang ada benarnya. Jika kita tidak menguasai sesuatu bahasa, pastinya kita tidak mampu menyampaikan sesuatu dalam bahasa itu dengan lancar. Contoh seorang pemidato ingin menyampaikan pidato dalam bahasa arab, sedangkan dia jarang menggunakan bahasa arab dalam perbualan sehariannya, pasti wujud sedikit kepincangan dalam penyampaian berserta gaya bahasa yang seterusnya gagal menarik penonton menghayati pidato tersebut.

Kehidupan yang sederhana serta penuh kasih sayang juga melatih baginda yang sememangnya telah dihiasi dengan akhlak yang terpuji untuk berkasih sayang dan bersifat pemaaf serta tidak terlalu cintakan keduniaan.

Oleh yang demikian, Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa dipelihara Allah daripada perkara maksiat, membesar menjadi kanak-kanak yang cergas dan sihat. Sihat yang bukan sahaja pada tubuh badan kerana khasiat susu ibu dan susu kambing malah sihat daripada penyakit hati seperti hasad dengki, pemarah, sombong dan sebagainya.

p/s:Tidak salah memberikan kehidupan yang selesa kepada anak-anak. Namun, pastikan mereka tidak hanyut dalam keselesaan itu dan jauhkan mereka daripada pengaruh yang tidak baik.