Follow Me on Twitter

Thursday, October 21, 2010

Islamnya Thumamah bin Uthal

Siapakah Thumamah bin Uthal? Dia adalah salah seorang pemimpin Bani Hanifah yang paling terkemuka tinggal di Yamamah pada zaman Rasulullah s.a.w. Bagi aku, kisah Thumamah bin Uthal memeluk Islam menarik untuk dikongsikan bersama pembaca sekalian. Ini kerana Islamnya Thumamah disebabkan tertarik dengan contoh teladan yang baik ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w dan juga para sahabat.

Ianya bermula apabila Thumamah bin Uthal ditawan ketika dia sedang dalam perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Namun niat sebenarnya juga adalah datang ke Madinah untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w.

Thumamah kemudiannya dibawa tentera Islam ke hadapan Rasulullah s.aw. Walaupun baginda tidak pernah kenal Thumamah bin Uthal, namun Allah telah memberitahu baginda akan niat Thumamah.

Apa nabi kita lakukan?

Thumamah ditambat di tiang masjid dan baginda mengarahkan para sahabat melayannya dengan baik. Makanan yang enak disediakan buat Thumamah, kerana nabi tahu Thumamah perlu dilayan mengikut tarafnya sebagai pemimpin kaumnya. Baginda juga bertanya khabar Thumamah dengan baik.

Tindakan Rasulullah s.a.w mengarahkan agar Thumamah ditambat di tiang masjid ada hikmahnya. Kerana di masjidlah para sahabat sering berkumpul, dalam suasana terhormat, penuh tatatertib dan patuh pada pucuk pimpinan. Ketika inilah Thumamah melihat para sahabat memenuhi masjid pada malam harinya beribadat dan berzikir dalam suasana yang tenang dan tempat yang bersih.

Apabila tiba waktu subuh, Rasulullah s.a.w menjadi imam dan membaca ayat Al-Quran dengan nyaring. Suara baginda yang merdu ditambah pula dengan ayat-ayat Al-Quran yang indah membuatkan Thumamah semakin kagum.

Pada malam kedua, perkara yang sama berulang. Para sahabat bergilir-gilir masuk sekumpulan demi kumpulan untuk beribadat dan berzikir di dalam masjid. Hati Thumamah semakin tertarik. Namun masih belum menyatakan keislamannya tatkala ditanya baginda.

Makanan yang enak terus disediakan buatnya walaupun dirinya seorang tawanan. Dan Thumamah makan dengan begitu banyak dan lahap sekali. Ia tidak menghairankan nabi dan para sahabat kerana sudah menjadi tabiat orang Jahiliyyah makan sebegitu rupa.

Apabila selesai solat subuh keesokannya, Rasulullah s.a.w sekali lagi mengajak Thumamah memeluk Islam namun Thumamah sekadar memuji-muji baginda sambil mengaku bersalah dan rela dibunuh. Baginda kemudiannya berlalu pergi dan mengucapkan kata-kata yang turut didengari sahabat.

“Wahai Allah! Makan daging kambing lebih aku sukai daripada darah Thumamah”

Tahulah para sahabat kehendak hati baginda yang inginkan Thumamah memeluk Islam. Maka mereka saling berdoa dan memperhaluskan lagi layanan terhadap Thumamah.

Dan pada hari ketiga, Thumamah bin Uthal telah dibebaskan Rasulullah s.a.w tanpa syarat dan apa-apa perjanjian walaupun dia tidak menyatakan keislamannya. Dan Thumamah sempat disajikan hidangan makanan dan minuman. Namun, pada kali ini Thumamah hanya makan dengan sedikit, tidak seperti sebelumnya, dan ini membuatkan para sahabat kehairanan.

Thumamah kemudiannya bangun dan pergi membersihkan dirinya. Dan dia  datang kembali ke hadapan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dengan wajah yang ceria, lantas mengucapkan dua kalimah syahadah dengan penuh keikhlasan.

Kemudian dia berkata,

“Wahai Rasulullah! Tadinya demi Allah tidak ada di atas muka bumi ini wajah yang paling saya benci selain wajah tuan. Tetapi kini tiada wajah yang paling aku cintai selain wajah tuan. Tadinya demi Allah, tidak ada agama yang lebih saya benci selain agama tuan. Tetapi kini tidak ada agama yang paling saya cintai melebihi agama tuan. Tadinya demi Allah, tiada negeri yang lebih saya benci selain negeri tuan. Tetapi kini tiada yang lebih saya cintai melebihi negeri tuan. Sesungguhnya angkatan berkuda tuan telah menawan saya dalam perjalanan (ke Mekah) Sekarang apa yang tuan perintahkan kepada saya, itulah yang akan saya lakukan”

Rujukan:Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.

Berilah contoh yang baik kepada anak-anak: Sumber

p/s:Lihatlah teknik berdakwah yang digunakan nabi kita, memberi contoh teladan yang baik kepada bukan Islam...