Follow Me on Twitter

Friday, October 1, 2010

Only the strong


Situasi 1

Seorang bekas penagih akhirnya dibebaskan dari pusat pemulihan. Dia kembali ke kampung halaman dengan azam baru dan penuh kekesalan. Bibirnya tidak putus-putus menuturkan kata maaf terhadap kedua orang tuanya. Tetapi, tiada sebarang reaksi positif.

Statusnya sebagai bekas penagih menyukarkannya untuk diterima bekerja. Masyarakat memandang negatif kepadanya. Dia akur kerana sedar ianya berpunca daripada kesilapannya sendiri. Pada mulanya dia tidak berputus asa, malah cuba membina perniagaannya sendiri dengan mula berniaga kecil-kecilan menjual burger. Tetapi tiada sokongan.

Akhirnya, tekad dirinya teruji kembali apabila rakan-rakan penagih yang mengaku ‘sahabat’ datang memberi ‘galakan’. Disebabkan kecewa dengan layanan masyarakat, maka sekali lagi jiwanya yang lemah tewas dengan pujukan rakan. Tidak lama kemudian, dia kembali ditangkap dan dimasukkan ke pusat pemulihan. Masyarakat hanya memandang sinis dan berkata, “Sudah dasar penagih, penagih jugalah...”

Situasi 2

Seorang suami tenggelam dengan keseronokan berpoya-poya dengan perempuan lain kerana terpengaruh dengan gaya hidup rakannya. Hubungannya bersama isteri kian renggang dan dia mula mengabaikan tanggungjawabnya. Pergaduhan berlaku dan akibat tidak dapat mengawal emosi, si suami melafazkan lafaz talak ke atas isterinya.

Namun, ia tidak mendatangkan apa-apa keseronokan padanya apabila dia mula menyedari erti kehilangan sebuah cinta sejati dan suci. Si suami menyesal dan berjanji untuk berubah. Namun, si isteri tidak dapat menerimanya kerana khuatir sejarah berulang kembali.

Si suami tekad berubah dan menginsafi diri. Dia menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, membayar tunggakan nafkah bekas isterinya serta anak-anak. Namun, hidupnya sepi kerana kebanyakan masa dihabiskan seorang diri. Kalaulah si isteri benar-benar menerima bahawa dia benar-benar sudah berubah...

~~~

Sejarah adalah sebahagian hidup manusia. Sama ada baik atau buruknya sejarah hidup, ia tetap sebahagian daripada hidup. Hanya kita yang mampu mengubah sejarah diri, sama ada menjadi lebih baik atau kembali mengulanginya. Tetapi, sejauh mana kita melihat sejarah lalu menilai seseorang melalui sejarahnya? Adakah kita menilainya berdasarkan sejarah lampaunya atau menerima dirinya yang baru, dengan harapan dia benar-benar berubah.

Dan sekuat mana kita bertekad untuk benar-benar berubah jika sejarah lampau diri tidak begitu baik. Kita mungkin tidak dapat memaksa setiap orang menerima perubahan kita. Mungkin tiada siapa yang percaya kita sudah berubah lalu tanggapan buruk serta sikap khuatir masyarakat masih ada. Tetapi percayalah, Allah lebih mengetahui.