Follow Me on Twitter

Wednesday, October 13, 2010

Pemandu bijak vs Kemalangan maut

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Rembau. Aku rasa ramai yang sudah tahu dengan lanjut butir-butir kejadian tersebut. Kejadian yang boleh dianggap sebagai tragedi Oktober di sebalik kemeriahan majlis-majlis perkahwinan yang diadakan pada 10 Otober 2010 itu.

Sebenarnya kemalangan ngeri sudah banyak berlaku di negara kita. Ia amat menyayat hati masyarakat apatah lagi hati keluarga mangsa. Tetapi persoalannya, adakah kita hanya semata-mata berasa sedih? Atau benar-benar mengambil iktibar atas apa yang berlaku?

Mungkin kita memandu dengan baik, serta mengikut segala peraturan jalan raya dan saranan kerajaan. Tetapi kita perlu tahu, bukan semuanya seperti kita. Jadi apa yang sebenarnya kita harus lakukan sebagai pemandu dan pengguna jalan raya?

 Juruterbang pun kena patuhi peraturan trafik udara

Situasi 1

Sebuah kereta ingin keluar dari persimpangan ke jalan utama. Pemandunya kelihatan teragak-agak untuk bertindak, sama ada terus berhenti menunggu lalu lintas yang selamat atau terus keluar kerana disangkanya kereta yang lain masih jauh. Dia mengambil keputusan untuk terus membelok, namun di saat itu sebuah kereta di jalan utama kelihatan sudah dekat dengannya...

Situasi 2

Sebuah kereta meluncur laju di sebuah jalan raya utama yang besar. Semua kenderaan mahu dipotongnya. Tatkala menghampiri sebuah lampu isyarat dengan lampu hijau, lampu hijau itu mula bertukar kuning. “Masa untuk memecut”, getus hatinya. Tetapi lampu kuning dengan pantas bertukar merah dan dia masih memecut...

Situasi 3

Kereta itu meluncur laju di lorong kanan sebuah lebuh raya. Tiba-tiba dia merasakan susur yang ingin dimasukinya semakin dekat. “Ah aku boleh potong lagi dan kemudian bagi signal ke kiri” Dalam waktu yang sama, sebuah kereta bergerak laju dari sebelah kiri kerana tidak sabar dengan kereta yang dianggapnya ‘kereta siput’ yang bergerak perlahan di lorong tengah. Apabila sedang menghampiri sebuah susur keluar, tiba-tiba sebuah kereta dengan signal ke kiri cuba memintasnya...
~~~

Okay, cukuplah itu. Apa agaknya yang anda dapat fikirkan daripada ketiga-tiga situasi itu? Ketiga-tiganya diolah melalui pemerhatian aku sepanjang memandu kereta dan menunggang motosikal selama 6 tahun. Masih belum cukup lama daripada pemandu-pemandu lain tetapi mungkin cukup lama untuk berfikiran matang ketika memandu.

Apa yang aku ingin sampaikan adalah kita perlu menjadi pemandu dan pengguna jalan raya yang bijak. Jangan teragak-agak ketika membuat keputusan dan pastikan keputusan yang dibuat bertepatan dengan keadaan ketika itu supaya tidak menyukarkan orang lain.

Seperti yang aku sebutkan pada awal tadi, bukan semua boleh mengikut peraturan. Maka, seorang pemandu yang bijak juga sentiasa bersedia dan boleh menjangka apa yang bakal dilakukan pemandu-pemandu lain.

Pernah terjadi kepada aku, sebuah lori ais berundur dan melanggar tepi belakang keretaku. Aku hanya menyedarinya ketika belakang lori itu sudah semakin hampir. Mujur sahaja aku sempat bergerak ke depan. Jika tidak, pasti bahagian pemandu yang terkena. Tetapi aku sebenarnya boleh membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu lori tersebut bahawa terdapat kereta di belakangnya...

Pemandu yang bijak juga mempunyai sikap saling menghormati dan bertolak ansur sesama pengguna jalan raya. Tiada salahnya mengalah asalkan sebarang kemalangan dapat dielakkan. Janganlah pula apabila kita menaiki kenderaan mewah atau besar, kita memandang rendah pada yang menaiki motosikal.

Kelajuan dalam keadaan terkawal serta bersesuaian juga menunjukkan sikap pemandu bijak. Contohnya, tidak melebihi had laju yang dibenarkan, tidak memandu laju di kawasan berhampiran sekolah dan bersedia untuk berhenti ketika lampu isyarat kuning.

Akhir kata, walaupun “Malang itu tidak berbau” tetapi sekurang-kurangnya kita tidak cuai dan telah berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan kemalangan.

p/s:Takziah kepada semua keluarga mangsa. Bersabarlah atas ketentuan-Nya.