Follow Me on Twitter

Friday, October 15, 2010

Zina: Bicara undang-undang

Aku terpanggil untuk menulis entri berkenaan isu zina ini setelah mendengar khutbah Jumaat hari ini di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor. Topik zina dalam khutbah tersebut hanya secara umum dan lebih menyentuh kepada hukum zina, faktor berlakunya zina dan juga saranan kepada penyelesaian isu tersebut.

Antara, penyelesaiannya adalah mengekang sumber yang boleh merangsang nafsu seks iaitu laman web lucah, dvd lucah, dan gambar lucah dalam telefon bimbit.

Bagi aku ia hanya langkah sampingan. Kerana apa yang lebih penting adalah menguatkuasakan undang-undang. Dan undang-undang itu bukanlah seperti yang dikuatkuasakan sekarang. Sebaliknya, pada pendapat aku, kita perlu kembali kepada perlaksanaan hukum hudud.

(Opss...jangan cepat melatah wahai orang yang resah. Aku di sini ingin berbincang daripada segi ilmiah.)

Hukuman zina menurut peruntukan undang-undang yang dipinda:

(Aku ambil contoh, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, No 9)

Seksyen 25, memperuntukkan mana-mana lelaki atau perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang yang bukan isteri atau suaminya adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi 5 ribu ringgit / penjara tidak lebih 3 tahun / disebat tidak melebihi 6 sebatan / mana-mana kombinasi hukuman jika disabitkan.

(bentuk hukuman yang sama bagi si bujang atau yang sudah berkahwin, hukuman 356)

Bagi kesalahan mukadimah zina, yang boleh dianggap kesalahan jenayah syariah yang biasa dan popular iaitu kesalahan khalwat, menurut Seksyen 29, enakmen yang sama, pesalah boleh boleh didenda tidak melebihi 3 ribu ringgit / penjara tidak lebih 2 tahun / mana-mana kombinasi hukuman jika disabitkan.

Hukuman zina menurut undang-undang Islam:

Zina termasuk dalam 7 kesalahan yang boleh dikenakan hudud. Antara kesalahan lain, kazaf (tuduhan perempuan berzina), minum arak, mencuri, merompak, memberontak kepada pemimpin (bukan memberontak tak dapat aiskrim k),  dan murtad.

Hukuman hudud bagi kesalahan zina jika disabitkan,

 Firman Allah dalam surah an-Nuur, ayat 2:


Bagi yang belum berkahwin – 100 kali sebatan dan buang daerah
Bagi yang sudah berkahwin – Direjam dengan lontaran batu.

Nampak kejam? Nanti dulu..jangan cepat menilai...lihat syarat dan cara perlaksanaan.

Kesalahan hudud seperti zina dalam Islam merupakan kesalahan serius yang memerlukan pensabitan yang benar-benar kukuh. Bukan terus menghukum berdasarkan dakwaan malah kesalahan ini perlu disabitkan mengikut syarat-syarat tertentu tanpa ada sebarang keraguan walaupun sedikit.

Syarat-syarat pensabitan hudud ke atas pesalah zina

1.     Berlaku persetubuhan sempurna antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan perkahwinan (masuknya kepala zakar ke dalam faraj perempuan)
2.         Pesalah baligh serta berakal ketika melakukan jenayah zina.
3.         Pesalah melakukannya dengan kerelaan hati bukan dipaksa.
4.         Pesalah tahu tentang pengharaman zina.
5.         Tiada keraguan dalam pensabitan niat pesalah.
6.       Kesalahan itu disaksikan 4 orang saksi lelaki yang adil. Mereka menyaksikan sendiri zina itu dilakukan dan bukannya semata-mata melalui pendengaran. Penyaksian mereka tidak dilewatkan dalam satu tempoh yang panjang serta tidak berbeza-beza tentang tempat berlakunya zina.

Perlaksanaan hukuman hudud ke atas pesalah zina setelah disabitkan

Hukuman sebatan menggunakan cemeti yang tidak kering dan tidak lembut. (Antara keras dan lembut)

Sebatan disyaratkan di bahagian belakang selain kepala, muka dan kemaluan. Tidak mencederakan dan mengoyakkan kulit. Ini kerana hukuman adalah bertujuan menakutkan pesalah bukannya membalas dendam dan memusnahkan.

Pesalah yang disebat juga tidak perlu menanggalkan pakaiannya. Jika pesalah sakit, maka hukuman dilaksanakan ketika ia sembuh. Dan jika tiada harapan sembuh, hukuman diringankan kepada tahap yang mampu ditanggungnya.

Hukuman buang daerah pula bermaksud pesalah dibuang dari daerah tempat berlakunya kesalahan zina itu selama 1 tahun tanpa dikurang atau ditambah. Jaraknya seperti jarak musafir iaitu 2 marhalah.

Bagi pesalah yang sudah berkahwin, sememangnya perlu menghadapi hukuman yang lebih keras. (direjam dengan batu sampai mati) Ini kerana dia telah diberikan satu hubungan yang halal namun masih berpaling mencari yang haram serta mencabar maruah manusia lain. Maka, ia merupakan perkara yang amat buruk bagi dirinya. Oleh itu, hukuman hudud di dunia inilah sebagai balasan agar dirinya tidak dikenakan balasan akhirat.

Gugurnya hukuman hudud atas pesalah zina adalah apabila pesalah menarik balik pengakuan atau melarikan diri daripada disebat atau direjam. Hukuman itu juga gugur apabila saksi, sebahagian atau kesemuanya, menarik balik penyaksian mereka. Maka, ketika inilah takzir, iaitu hukuman pemerintah mengambil tempat, mengikut apa yang setimpal, dengan tujuan untuk mendidik serta memberi pengajaran kepada orang lain.

Lihat, Islam bukan sewenang-wenang ingin menjatuhkan hukuman hudud kepada pesalah zina, setiap pensabitan dibuat dengan teliti. Jika tidak dapat disabitkan barulah ketika itu diberikan hukuman lain yang setimpal.

Islam juga ingin mendidik dan memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat kesalahan zina. Jadi tidaklah masyarakat sekadar memandang remeh hukuman yang ada sekarang dan beranggapan semuanya boleh diselesaikan dengan wang.

Sumber rujukan: al-Wajiz fil Fikh al-Jana’i al-Islami: Dr Muhammad Naim Yasin, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, No 9.

p/s:Jika ada pertambahan atau pembetulan, dipersilakan..