Follow Me on Twitter

Sunday, November 14, 2010

Nabi Muhammad s.a.w mula mengasingkan diri

Kali ini aku dapat peluang untuk berkongsi lagi dengan anda semua sedikit kisah Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah berkenaan perasaan benci baginda terhadap cara hidup bangsa Arab Jahiliyyah dan mula mengasingkan diri daripada dunia yang penuh maksiat itu. Baginda mula merasa jelik dan bosan dengan gaya hidup kaum musyrikin Arab ketika umur baginda mencapai 35 tahun. Pada ketika itu Allah telah memberikan hidayah dan mencampakkan perasaan benci terhadap gaya hidup Jahiliyyah yang kotor dengan sikap suka berjudi, bermain perempuan, bersukaria dengan majlis tarian, dan menyembah berhala.


Atas rasa tidak selesa itu, Nabi Muhammad s.a.w mula mencari tempat untuk bersendiri. Baginda tidak lagi dilihat berjalan-jalan di Kota Mekah dan bercampur gaul menjalani kehidupan dalam masyarakat. Maka, dengan itu bermulalah peranan Gua Hira’, gua yang terletak di puncak Bukit Cahaya atau Jabal Nur, gua yang menjadi tempat Rasulullah s.a.w mengasingkan diri sebelum diangkat menjadi rasul.

Baginda mengasingkan diri berterusan selama 5 tahun. Hanya sebulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan. Baginda pulang ke rumah apabila bekalan habis dan pergi semula ke Gua Hira’ untuk menyepikan diri. Perjalanan mendaki ke puncak bukit menuju ke gua tersebut mengambil masa 30 ke 45 minit. Ia bukan masalah buat nabi kita kerana baginda seorang yang gigih. Baginda bermunajat dan berzikir di dalam ruang gua yang hanya muat untuk seorang, berpandukan ajaran Nabi Ibrahim a.s.

Ya, ajaran Nabi Ibrahim a.s. Kota Mekah pada asalnya adalah negeri tauhid yang menyembah Allah berdasarkan ajaran yang dibawa Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail a.s. Namun, pengaruh luar yang dibawa oleh penduduk Mekah itu sendiri, iaitu Amru bin Amir, seorang pembesar Khuza’ah telah merubah Kota Mekah sama sekali. Dalam perjalanannya ke Syam, dia telah singgah ke Kota Patra di Jordan dan tertarik dengan penyembahan berhala. Maka, dia membawanya ke Mekah dan diletakkan di depan Kaabah lalu menyuruh penduduk Mekah menyembahnya kerana dikatakan ia membawa rahmat.

Lihatlah pengaruh seorang pemimpin yang telah merosakkan kepercayaan penduduk Mekah. Maka, dengan itu, mereka mula menyekutukan Allah. Perkataan “Demi Allah” mula disertakan dengan “Demi Latta dan Uzza”. Inilah yang dibenci Rasulullah s.a.w kerana mereka telah melupakan ajaran Nabi Ibrahim a.s hanya semata-mata patung berhala yang dicipta manusia.

Disebabkan itu, baginda menyepikan diri di dalam Gua Hira’ hinggalah saat Malaikat Jibril datang membawa wahyu. Sebelum itu, terdapat beberapa petanda yang menyebabkan baginda sentiasa tertarik hati untuk terus menyepikan diri malah selama 6 bulan berturut-turut (pulang sekejap mengambil bekalan makanan)

Baginda mula didatangi mimpi-mimpi yang baik seperti pemandangan cuaca waktu subuh yang terang, yang memberi ketenangan pada sesiapa yang memandangnya. Perjalanan baginda ke Bukit Cahaya juga disertai dengan ucapan salam, “Assalamualaika ya Rasulullah” oleh batu-batu dan pokok-pokok yang ada pada laluan ke Gua Hira’ itu.

Dan akhirnya apabila baginda berumur 40 tahun, pada tengah malam 17 Ramadhan Tahun Gajah, Jibril datang membawa wahyu. Baginda yang ketakutan kembali menemui isteri baginda Siti Khadijah dan meyatakan kebimbangan ke atas dirinya sendiri.

Setelah dipujuk Siti Khadijah, baginda menyatakan bahawa yang telah datang menemuinya adalah Jibril Maka dengan itu tahulah Siti Khadijah, bahawa baginda perlu dibawa berjumpa saudara sepupunya iaitu Waraqah bin Naufal, seorang alim beragama Nasrani yang tahu isi kandungan kitab Taurat dan Injil.

Setelah mengetahui apa yang berlaku ke atas baginda, berkatalah Waraqah bin Naufal,

“Quddus, Quddus (suci) Wahai anak lelaki saudaraku! Ini adalah Namus Akbar (Malaikat Jibril as yang membawa rahsia besar) yang telah diutuskan Allah kepada Nabi Musa a.s. Oh! Alangkah baiknya kalau aku muda dan kuat kembali. Mudah-mudahan aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu kelak.”

Kenapa begitu? Baginda tertanya-tanya tentang kenapa boleh jadi sedemikian. Sedangkan kaumnya amat menyayanginya. Diri baginda amat terkenal dengan kebaikan dan kemuliaan. Sehinggakan perubahan sikap baginda yang suka menyendiri ke Gua Hira’ tidak begitu diambil peduli oleh Arab Jahiliyyah kerana bagi mereka Muhamad tidak akan melakukan apa-apa selain kebaikan.

Maka, baginda bertanya semula, “Apakah benar mereka akan mengusirku nanti?”

“Ya, sekali-kali tidak ada seseorang yang datang dengan membawa seperti apa yang kau bawa itu melainkan ia mesti dimusuhi. Dan jika aku masih hidup pada ketika itu, aku akan menolong engkau dengan sekuat-kuat tenagaku.”

Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan ditentukan Allah dengan sebaiknya. Pengasingan baginda daripada kehidupan kotor bangsa Arab menjadi titik tolak kepada dekatnya diri baginda kepada Allah, kemudian diangkat menjadi Rasul umat ini. Nabi kita yang teragung, nabi umat akhir zaman.

Wallahualam. (InsyaAllah, entri tentang pengajaran wahyu pertama bakal menyusul)

Rujukan: Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.