Follow Me on Twitter

Monday, November 22, 2010

Pengorbanan:Bukan sekadar di Aidiladha

Pengorbanan adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh setiap muslim, sama ada pengorbanan dari segi fizikal, harta dan jiwa demi memperjuangkan agama Islam. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah salah satu contoh pengorbanan yang dilakukan dengan hati dan jiwa yang ikhlas. Begitu juga dengan kisah pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat.

Secara ringkasnya, itulah isi kandungan khubah Jumaat lepas yang menyatakan tentang pengorbanan. Masa khutbah yang singkat hanya dapat memuatkan beberapa pernyataan dan kesimpulan tentang pengorbanan. Jadi entri ini dibuat untuk berkongsi dengan anda antara beberapa kisah pengorbanan selain daripada kisah Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as. Pengorbanan atas rasa cinta kepada Allah dan rasulNya.

Pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w

Pada awal baginda diangkat menjadi Rasul, di saat agama Islam dibenci oleh kaum Musyrikin, baginda berharap agar penduduk Taif menyambut seruan dakwah baginda. Ini kerana penduduk Kota Taif mempunyai hubungan saudara dengan bapa dan ibu susuan baginda iaitu Abu Kabsyah dan Halimatus Saadiah.

Namun harapan baginda tidak kesampaian apabila 3 orang pembesar Taif menolak seruan dakwah malah mengusir baginda yang turut ditemani anak angkat baginda Zaid bin Harithah keluar dari Kota Taif. Bukan setakat itu, penduduk Taif termasuk budak-budak diatur di kiri kanan jalan keluar baginda bagi melontar batu ke arah baginda. Zaid bin Harithah sedaya upaya melindungi ayah angkatnya dengan berpusing-pusing menghalang batu yang ditujukan kepada kaki, betis dan tumit ayah angkatnya itu.

Walaupun darah mengalir dengan banyaknya disebabkan kecederaan teruk di kaki, betis dan tumit, ia tidak mematahkan semangat dakwah baginda malah mendoakan hidayah buat keturunan penduduk Taif sedangkan di saat itu malaikat penjaga gunung telah bersedia menimpakan sebuah bukit ke atas Kota Taif.


Itulah pengorbanan baginda dalam berdakwah demi agama-Nya. Seorang nabi yang diutuskan pastinya perlu bersedia berkorban jiwa dan raga berdepan dengan apa yang dikatakan Waraqah bin Naufal.

Pengorbanan harta oleh para sahabat

Menjelang Perang Tabuk di mana tentera mukmin bakal menentang tentera Rom Timur yang besar jumlah anggotanya, Rasulullah s.a.w menganjurkan derma di kalangan orang Islam agar perbelanjaan peperangan dapat dibiayai.

Oleh itu, para sahabat mula berlumba-lumba untuk menderma. Antaranya Sayyidina Abu Bakar as Siddiq, Sayyidina Umar bin Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auff. Walaupun mereka berlumba-lumba untuk menderma sehinggakan Umar ingin bersaing dengan Abu Bakar tentang kadar derma, ia bukanlah bermaksud mereka mahu menunjuk-nunjuk. Apa yang lebih penting adalah pahala yang diperolehi mereka.

Ini kerana keutamaan tidak dinilai berdasarkan jumlah, tetapi berdasarkan kadar yang dikeluarkan. Contohnya, seorang jutawan mengeluarkan derma 100,000 daripada 1 juta = hanya 1/10. Tidak dapat mengatasi seorang yang mengeluarkan 500 daripada 1000 = 1/2. Kadar itu lebih dipandang di sisi Allah.

Jadi kisah yang berlaku antara Umar dan Abu Bakar adalah, Umar mendermakan separuh dari hartanya. Apabila ditanya Rasulullah s.a.w,

“Apakah masih ada baki perbelanjaan untuk ahli keluarga kau?”
“Ya, masih ada separuh lagi”

Abu Bakar pula mendermakan seluruh hartanya, dan apabila ditanya baginda,

“Apakah masih ada baki perbelanjaan untuk ahli keluarga kau?”
“Aku tinggalkan bagi mereka, Allah dan rasulNya,”

Lihatlah betapa besarnya pengorbanan sahabat daripada segi harta kekayaan. Tiada langsung rasa untuk berkira-kira demi Allah dan rasulNya. Tiada apa yang mereka harapkan melainkan bekalan di akhirat kelak melalui amal mereka. Tidak dilupakan juga pengorbanan mereka dalam menghadapi ancaman peperangan musuh.

Itulah sahaja kisah pengorbanan yang boleh aku kongsikan setakat ini. Pengorbanan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk selagi berlandaskan Islam. Dan biarlah ia dilakukan sepanjang masa, dan bukan hanya di Aidiladha.

(Kalau mahu mengetahui kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as, boleh baca entri di blog Jo Qusary)

p/s:Tentang peperangan yang dikatakan, janganlah disangkakan Islam agama keganasan. Tak percaya? Baca di entri ini.

p/ss:Dapat juga siapkan entri ini. Sila baca dengan tekun ye. Tak perlu bayar pun :D Isnin dan Selasa off sebab jadi driver Pak Ngah dan familynya untuk urusan konvo di OUM. Entri ini dipublish pada pukul 2.08 pagi Isnin.