Follow Me on Twitter

Friday, November 5, 2010

Ultraman Dajjal vs Iblis?

Entri ini adalah kesinambungan daripada entri bro Hasrul Hassan berkenaan dengan filem Ultraman yang mempunyai unsur Dajjal dan Iblis. Aku dah pun membeli DVD filem berkenaan dan menontonnya (adik aku yang suka...ceh..tak nak mengaku suka Ultraman...full Ultra action woo)


Mungkin Belial yang dahulunya Ultra boleh dikatakan seperti iblis kerana kejahatannya. Tetapi berkenaan Ultra Zero sebagai Dajjal...aku kurang pasti. (Nak kata buta sebelah tak, nak kata 3 mata, mata Dajjal 2 je rasanya...cuma memang muka dia nampak ada unsur-unsur kejahatan sikit)

Belial, nama bagi salah satu daripada 4 Putera Mahkota Neraka yang disebut dalam The Satanic Bible. (Sumber: Wikipedia)

Ultra Zero, anak kepada Ultra Seven

Itu baru filem Ultraman. Belum lagi Vahalla Rising yang mengisahkan seorang pahlawan yang menyamai Dajjal dengan salah satu matanya buta dan bisu. Dikatakan 90 peratus filem berkenaan mengisahkan biografi Dajjal. Adakah ia teori konspirasi pengikut Dajjal? Boleh baca di laman blog ini.

Hmm..aku kurang berminat sebenarnya nak mengkaji teori konspirasi. Walau sebanyak mana pun kisah atau filem yang diterbitkan bagi mengubah persepsi dan memberi tanggapan yang hebat kepada Dajjal, tetapkanlah hati dan cukuplah sahaja kita percaya akan kemunculan Dajjal seperti mana yang diberitakan nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. (Baru-baru ni Upin Ipin dikaitkan dengan konspirasi yahudi juga...macam-macam)

Perihal Dajjal

Dajjal pasti muncul. Ia merupakan salah satu petanda kiamat besar. Ia adalah seorang lelaki yang diciptakan Allah agar menjadi ujian kepada umat manusia pada akhir zaman. Dengan kemunculannya, orang akan tersesat atau mendapat petunjuk. Orang-orang fasik akan tersesat, manakala orang-orang beriman mendapat petunjuk bahawa itulah Dajjal yang dikatakan Rasulullah sebagai fitnah terbesar.

Dari Imam Ahmad, dia mendengar Husain bin Muhammad dari Sulaiman bin al-Mughirah dari Humaid bin Hilal dari Hisyam bin ‘Amr al-Anshari, mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,

“Antara penciptaan Adam sampai hari kiamat terdapat sebuah fitnah yang paling besar yakni Dajjal”

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tidak ada seorang nabi pun kecuali memperingatkan umatnya dari Dajjal. Buta satu matanya, pendusta. Ketahuilah dia buta. Adapun Rabb kalian tidaklah demikian. Tertulis di antara dua mata Dajjal, Ka Fa Ra, yakni kafir.”

Kebanyakan hadis Bukhari dan Muslim banyak menyebut tentang ciri-ciri Dajjal yang disebut dengan jelas dan terang. Iaitu Dajjal adalah seorang lelaki dari Bani Adam, seorang pemuda yang berambut keriting, pendek dan berkulit merah. Dahinya lebar, lehernya lebar. Matanya buta sebelah kanan dan pada matanya sebelah kiri ada daging tumbuh. Tertulis di antara kedua matanya yang bermakna kafir.

Menurut riwayat sahih tentang Dajjal, dalam hadith Fatimah binti Qais yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w, Dajjal diizinkan keluar pada akhir zaman setelah umat Islam meninggalkan Kota Konstantinople, yang mula-mula kemunculannya dari Ashbahan yang disebut al-Yahudiyyah, dia ditolong oleh 70 ribu penduduk yahudi, juga dibantu 70 ribu orang Tartar dan sekumpulan penduduk Khurasan.

Pada mulanya ia mengaku nabi kemudiannya mengaku tuhan. Dia menguasai negeri demi negeri. Tidak ada satu pun negeri tidak diinjakkan kakinya kecuali Mekah dan Madinah. Datangnya bersama keajaiban yang menyesatkan, sedangkan bagi orang-orang yang beriman yang tetap istiqamah, keajaiban itu menambahkan lagi imannya kerana mereka tahu apa yang diberitakan Rasulullah s.a.w adalah benar dan Dajjal benar-benar seorang pendusta.

Itu juga menjadi sebab kenapa nama Dajjal tidak disebut langsung di dalam Al-Quran berbanding nama Firaun. Firaun telah jelas pembohongannya apabila ia mengaku tuhan. Sedangkan Dajjal merupakan perkara akan datang yang merupakan fitnah yang bakal dihadapi hamba-hamba-Nya. Ia juga sebagai tanda penghinaan kepada Dajjal, kerana hal berkenaan Dajjal sangat hina dan rendah untuk diceritakan di dalam Al-Quran.

Dikatakan bersama Dajjal ada syurga dan neraka seperti mana yang diriwayatkan Imam Muslim, dari sahabat, Hudzaifah bin Al-Yaman, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Dajjal adalah buta sebelah kiri, sangat keriting rambutnya, dan bersamanya syurga dan neraka. Namun nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka”
(Riwayat Muslim no. 2934)

Walaupun Dajjal datang dengan kehebatan dan kesempurnaan yang cuba dibawanya, semua itu akan dipandang penuh dengan serba kekurangan oleh orang-orang yang beriman kerana kezaliman dan kejahatannya. Ditambah pula dengan tulisan ‘kafir’ seperti yang disebut dalam hadis di atas sebelum ini.

Bagaimana menyangkal fitnah Dajjal?

Rasulullah s.a.w bersabda,

“Selain Dajjal lebih aku takutkan (menimpa) kalian. Kerana jika Dajjal keluar dan aku masih di antara kalian nescaya aku akan menjadi pelindung kalian. Jika dia keluar ketika aku telah tiada maka setiap muslim akan menjadi pembela dirinya sendiri. Allah yang akan menjaminku membela setiap muslim. Dia adalah seorang pemuda yang sangat keriting, matanya tidak ada cahayanya, aku mengira dia mirip Abdul Uzza bin Qathan. Barang siapa antara kalian mendapatinya, bacalah awal surah al-Kahfi. Dia akan keluar dari jalan antara Syam dan Iraq, berjalan ke kiri dan kanan. Wahai hamba-hamba Allah, istiqamahlah,”
(Riwayat Muslim no. 2937)

Sejauh mana pun teori konspirasi berkembang, adalah lebih baik kita mengkaji dengan lebih dalam perkara tentang Dajjal melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan para sahabat, kerana Allah telah mengkhabarkan perihal Dajjal kepada para nabi hingga Rasulullah s.a.w.

Rujukan
Karya terjemahan Al-Nihayah Fi al-Fitan Wa al-Malahim (Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Kiamat) tulisan Ibnu Katsir.
Majalah i keluaran Jun 2010.


Ultraman Zero
Ultra Flash Straps aku telah kehilangan cahaya =_=