Follow Me on Twitter

Friday, December 24, 2010

Hadiah buat Rasulullah s.a.w

Semalam, keputusan PMR telah dikeluarkan. Rasanya pasti ramai yang tersenyum bangga dan gembira dengan keputusan tersebut yang dikatakan meningkat sebanyak 0.65 peratus atau 2,675 calon berbanding tahun lalu.. Tapi apa yang lebih penting, diharap kejayaan yang dicapai mampu diteruskan, dan bagi mana-mana yang kurang berjaya diharap tidak mengalah terlalu awal, kerana masih banyak kejayaan yang boleh dikecapi di masa akan datang.

Apa-apa pun tahniah kepada yang berjaya. Tahniah juga kepada yang lulus. Dan tahniah kepada adik aku atas kejayaan 9A PMR. Nampaknya ada lagi janji yang perlu aku tunaikan. Kepada yang pernah baca entri tentang janji aku, cuma tinggal sehari lebih untuk aku menunaikan janji pada adikku yang dapat 5A UPSR.

Adakah aku akan bersama hadiah di KLIA 26 Disember ini? ^___^

 Adik aku tu pandai juga main kiub Rubik :D

Okay, bercerita tentang hadiah. Aku nak kongsikan satu kisah mengenai hadiah yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w sebaik sahaja baginda menetap di Madinah.

Ketika itu, ramai orang datang ingin berjumpa dan menatap wajah baginda. Mereka turut membawa hadiah untuk diberikan kepada baginda dan baginda menerimanya dengan baik. Di kalangan orang yang datang, ada seorang perempuan bernama Ummu Sulaim binti Milhan. Dia tidak mahu ketinggalan untuk memberikan hadiah kepada nabi. Walaupun miskin, namun dia masih mahu memberikan hadiah kerana ingin berbuat jasa kepada baginda.

Akhirnya dia datang berjumpa nabi dengan membawa anak lelakinya yang berusia 8 tahun. Dia ingin menghadiahkan anaknya kepada nabi untuk dijadikan khadam supaya dapat berkhidmat kepada baginda.

Rasulullah s.a.w kemudiannya bersetuju dan menerima pemberian Ummu Sulaim. Maka, jadilah Anas bin Malik khadam baginda.

Siapakah Anas bin Malik?

Anas bin Malik r.a merupakan perawi hadis ketiga terbanyak meriwayatkan hadis. Ia telah meriwayatkan sebanyak 2286 hadis. Ayahnya Malik bin Nadhir dan ibunya Ummu Sulaim binti Milhan. Anas diserahkan kepada Rasulullah s.a.w ketika usianya 8 tahun.

Ia tidak mengikuti Perang Badar kerana usianya ketika itu masih muda tetapi ia dikenali sebagai seorang yang gagah berani apabila menyertai peperangan yang lain. Ia juga terkenal dengan perlaksanaan yang baik dalam solat. Abu Hurairah r.a pernah berkata, “Saya belum pernah berjumpa dengan orang yang seperti Ibnu Sulaim (Anas r.a) dalam melaksanakan solat”

Sumber
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w, Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.
Majalah i Edisi Mei 2010, m/s 77.

p/s:Entri ni auto publish. Tengkorak Emas berdepan kekangan masa. (Blogwalking akan tetap dilakukan kemudian)