Follow Me on Twitter

Monday, December 13, 2010

Nikmat perlu disertai rasa bahagia

Dah tau kisah tentang seorang ibu yang tergamak mencampak bayinya yang berusia 6 bulan ke dinding? Boleh baca di blog Linglung. Selepas aku membaca di entri beliau, maka tergerak di hati aku untuk membuat entri lanjutan.

Disebabkan tekanan, tindakan yang kejam itu dilakukan. Disebabkan tekanan, nikmat yang hadir dalam kehidupan dilupakan. Jadi ada satu kisah yang aku ingin kongsikan di sini. Kisah sepasang suami isteri yang boleh dikatakan mempunyai hidup yang sempurna dengan kemewahan yang dimiliki serta susun atur rumah yang rapi serta ruti harian yang tersususn.

Namun, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Di sebalik kehidupan itu, siang malam mereka menanti dengan sabar hingga bertahun-tahun lamanya. Hinggalah pada suatu hari, si isteri mengkhabarkan berita gembira kepada suaminya. Ya, mereka bakal menimang cahaya mata. Gembiranya mereka tidak terkata di kala menerima ucapan tahniah datang mencurah-curah.

Masa yang dinanti tiba dan lahirlah bayi lelaki comel yang benar-benar menjadi pelengkap sebenar kehidupan mereka. Kemudian, tiga tahun berlalu dan anak lelaki tadi membesar dengan sepenuh perhatian dan belaian mereka.

Namun, apa yang merunsingkan, sikap dan kelakuan anak lelaki tadi 100 peratus berbeza dengan sikap ibu bapanya. Kalau sebelum ini rumah sentiasa berada dalam keadaan kemas, kali ini keadaan rumah seakan-akan seperti lepas perang.

Si ibu mula merintih derita dan tertekan kerana jiwanya tidak boleh melihat keadaan sedemikian lalu menganggap kehadiran anaknya adalah satu kesilapan. Maka, dia bertindak dengan menggunakan kekerasan melalui cubitan dan rotan. Malah mengajar anaknya berikrar,

“Mama, abang minta maaf...abang tak akan ulang lagi.” Itulah ungkapan yang diajar.

Namun, sejauh manalah ingin mengekang tingkah laku kanak-kanak itu. Dia masih dengan tabiatnya menyepahkan rumah dan mengoyak kertas yang dijumpainya. Sehinggalah di satu hari apabila si ibu ingin menyambut kedatangan tetamu dan sedang menyiapkan hidangan untuk tetamunya...

Si ibu terkejut melihat keadaan ruang tamu yang begitu bersepah dan tunggang langgang. S ibu menjerit lalu cuba mendapatkan anaknya itu...

Si anak yang ketakutan cuba melarikan diri lalu dikejar ibunya. Si anak terus berlari hingga ke luar pagar dan...

Terdengar satu hentaman keras dan sesuatu yang basah terpercik ke muka si ibu. Si ibu yang pada mulanya terpaku bergegas mendapatkan anaknya yang berlumuran darah lalu tanpa berlengah dia memandu keretanya, mebawa anaknya ke hospital.

Dalam perjalanan, si anak cuba menuturkan sesuatu...tersekat-sekat kesakitan..

“Mama.....abang minta maaf......abang tak akan ulang lagi.”

Bukan itu yang mahu si ibu dengar. Si ibu menangis. Bibirnya tidak putus-putus memohon kepadaNya agar menyelamatkan anaknya...

Setibanya di hospital, anaknya dimasukkan ke bahagian kecemasan. Si ibu menunggu di luar sambil menanti si ayah tiba. Tangisan dan doanya tidak putus-putus...penuh dengan harapan.

Si doktor akhirnya keluar, dan si ibu memandangnya dengan penuh harapan, menanti patah bicara doktor yang mampu melegakan hatinya.

“Puan...anak puan telah meninggal dunia...”

Saat itu, dunianya menjadi gelap. Hakikat pedih yang perlu diterimanya di saat dia meluru ke arah jasad anaknya yang tidak lagi bernyawa. Membawa pergi semua kesakitan bersama nafasnya...buat selama-lamanya...

Kisah di atas aku baca dalam buku ‘U-Turn ke Jalan Lurus’ hasil tulisan perunding motivasi Zul Ramli M. Razali yang diolah sedikit.

Ya, nikmat kadang kala cuma datang sekali, tetapi ianya perlu disyukuri sentiasa. Dan apa yang membezakan kita dengan haiwan adalah nikmat itu disertai dengan perasaan bahagia.

Haiwan hanya merasai nikmat, kerana ianya tidak mempunyai aspek kerohanian melainkan jasad. Manakala manusia mempunyai aspek kerohanian yang membolehkan dirinya merasai bahagia melalui nikmat yang diperolehinya.

Maka, selain mensyukuri nikmat, sertakanlah perasaan bahagia dalam mengecapi nikmat tersebut, insyaAllah sebarang tekanan dapat dihadapi.

 Buku yang banyak memberi pengajaran dan pendedahan berdasarkan hadis Qudsi dan fakta perubatan

Sumber kisah dan inspirasi
Entri Linglung
U-Turn ke Jalan Lurus’, Zul Ramli M. Razali, Galeri Ilmu Sdn Bhd. 2009.
Pesona Solat Tahajud, Prof Dr. Muhammad Salleh, PTS Millenia Sdn Bhd. 2010.