Follow Me on Twitter

Monday, January 17, 2011

Insomnia dan perubahan masa tidur

Secara umumnya, Insomnia adalah sejenis gangguan tidur waktu malam. Seseorang yang tidak berupaya untuk tidur pada waktu malam serta tidak mendapat tidur yang berkualiti pada waktu tersebut dikategorikan sebagai penghidap insomnia.

Pada kebiasaannya, Insomnia terbahagi kepada dua jenis iaitu Insomnia Akut dan Kronik. Insomnia akut berlaku dalam jangka masa yang pendek. Tempohnya mungkin antara satu malam hingga beberapa minggu. Insomnia kronik pula berlanjutan sekurang-kurangnya 3 malam seminggu dalam tempoh sebulan atau lebih.

Banyak perkara yang boleh menyebabkan Insomnia, seperti antaranya, tekanan, kemurungan, persekitaran, migrain, perubahan masa tidur dan sebagainya.

Apa yang aku nak fokuskan pada entri ini adalah tentang perubahan masa tidur. Jika masa tidur kita berubah, tidaklah ia terus membawa kepada Insomnia. Tetapi jika ianya dibiarkan berlanjutan hingga menjejaskan kerja dan rutin harian akibat mula tidak dapat tidur yang berkualiti, maka kita perlu mengembalikan masa tidur kita secara tetap.

Berdasarkan apa yang instructor aku cakap, biologi jam manusia berbeza-beza antara satu sama lain. Ini bermakna kemungkinan jumlah tidur yang mencukupi bagi setiap orang adalah tidak sama. Secara puratanya, ada yang memerlukan 7 hingga 8 jam waktu tidur sehari. Tetapi, ada yang hanya perlukan 4 hingga 5 jam sahaja.

Kita telah diberi panduan melalui al-Quran dan sunnah, bahawa malam adalah masa yang sesuai untuk berehat (Surah al-An'aam: 96, Surah an-Naml: 86). Maka, jika kita tidak terlibat dalam mana-mana syif kerja, masa tidur sepatutnya tidak terganggu.

Andai kata seorang pelajar yang mahu menyiapkan tugasan yang diberikan lalu berjaga hingga lewat malam, ia bukan alasan untuk kita menggantikan berapa banyak masa yang telah kita gunakan untuk menyiapkan tugasan. Tidurlah hanya untuk berehat supaya tidak terlebih tidur lalu menyebabkan badan kita menjadi lesu dan malas.

Tetapi jangan dibiasakan berjaga hingga lewat malam kemudian baru tidur, kerana ia pasti mengubah pola tidur anda. Adalah lebih baik tidur dahulu sebelum bangun (kira-kira sebelum masuknya subuh). Jika pola tidur terganggu berlanjutan, ia akan menyebabkan Insomnia.

Ketika aku merupakan seorang gamer yang tegar dahulu, pola tidurku sentiasa terganggu. Bayangkan selepas Isyak mula main game hingga Subuh. Selepas subuh baru tidur dan bangun untuk solat Zohor, kemudian tidur semula hingga Asar, dan sambung main game hingga Maghrib, seterusnya buat apa-apa yang patut hingga Isyak sebelum mula semula bermain game hingga Subuh (selagi misi belum selesai-pernah juga sampai tak tidur)

Jelasnya, masa tidur aku telah berubah daripada orang lain. Dan masa tidur siang sebenarnya tidak berkualiti. Badan aku lesu untuk melakukan kerja lain melainkan hanya duduk bermain game. Bila cuba hendak tidur pada waktu malam tak dapat pula. (Padahal musim exam tu, dan gangguan masa tidur yang berlaku adalah disebabkan pengisian yang sia-sia)


Jadi sekiranya anda menghadapi masalah tidur disebabkan perubahan masa tidur, maka mulakan tidur pada waktu sepatutnya secara tetap serta elakkan tidur berlebihan di waktu siang, terutama bagi golongan pelajar jika tiada kelas atau gap exam supaya masalah Insomnia dapat dihindari.

Sumber
Pembentangan kertas kerja kumpulan aku tentang Insomnia bagi program Peers pada 15/1/2011.
Ulasan instructor Peers, Puan Gee, Kaunselor KUIS.

p/s:Keghairahanku sebagai gamer sudah terkawal dengan adanya blog :D
p/s2: Perubahan masa tidur mungkin berlaku disebabkan kebimbangan dan keterujaan.