Follow Me on Twitter

Thursday, January 27, 2011

Kisah 3 sahabat yang tertinggal

Terasa lama tidak berkongsi kisah sejarah Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, pada hari ni aku nak berkongsi satu kisah dalam sejarah baginda melalui pembacaan aku dalam Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.

Kisah ini adalah mengenai 3 orang sahabat yang tertinggal dan tidak mengikuti Perang Tabuk tanpa ada sebarang alasan keuzuran. Mereka adalah di kalangan sahabat yang beriman, berlainan dengan para munafik yang menyatakan pelbagai alasan keuzuran untuk tidak mengikuti Perang Tabuk.

Namun, Nabi Muhammad s.a.w hanya menyerahkan soal kebenaran dan keikhlasan para munafik kepada Allah dan tidak mempersoalkan alasan mereka. Tetapi bagi 3 orang sahabat itu, bercakap dusta samalah seperti munafik maka demi iman dan tidak mahu mendustai baginda, mereka mengaku tertinggal tanpa sebarang alasan keuzuran melainkan kerana keasyikan dunia.

3 orang sahabat yang tertinggal itu adalah Kaab bin Malik, Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah.  Mereka mengaku ketidakuzuran mereka serta mengharapkan pengampunan Allah. Maka, dengan itu mereka dihukum dipulau oleh nabi dan muslimin seluruhnya selama 50 hari 50 malam.

Peristiwa pemulauan:
  • Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah tidak keluar rumah lagi sejak dipulau kerana berasa sedih dan malu.
  • Kaab bin Malik tidak menyepikan diri. Dia masih ke masjid untuk solat berjemaah dan ke pasar. Walaupun tiada siapa melayannya namun dia tidak mahu terpinggir dan mahu hidup sebagai salah seorang sahabat nabi.
  • Kaab bin Malik cuba menyapa Nabi Muhammad s.a.w namun baginda masih tidak mempedulikannya. Apabila Kaab bin Malik memandang ke tempat lain, dia perasan bahawa baginda memandangnya namun bila dipandang semula, baginda mengalihkan pandangan.
  • Saudara sepupu Kaab bin Malik, Abu Qatadah al-Ansari, tidak mempedulikannya.
  • Pegawai kerajaan Ghassan al-Harith bin Abu Syimar dihantar untuk memujuk Kaab bin Malik melalui surat rahsia untuk bergabung dengan mereka (kira nak rasuahla), namun Kaab bin Malik tidak mempedulikan pegawai tersebut lalu pulang ke rumah dan membakar surat rahsia itu.
  • Selepas 40 hari, ketiga-tiga mereka tidak boleh dilayani isteri mereka (kecuali Hilal bin Umayyah atas sebab keuzurannya)
  • Kaab bin Malik menolak cadangan isterinya untuk merayu tentang itu kerana merasakan tiada keuzuran baginya untuk dilayan isteri. (Kaab bin Malik masih muda)
  • Genap 50 hari, seseorang mengkhabarkan kepada Kaab bin Malik, Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah akan berita pengampunan Allah terhadap mereka.
  • Kaab bin Malik gembira lantas bersiap menghadap Nabi Muhammad s.a.w.
  • Talhah bin Ubaidullah yang dipersaudarakan Nabi kepadanya adalah orang pertama yang menyambutnya.
  • Nabi Muhammad s.a.w berkata, “Gembiralah kamu wahai Kaab dengan sebaik-baik hari yang telah kamu lalui sejak ibu kamu melahirkan kamu”.


“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka,

dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.”
Surah at-Taubah:117-119

Begitulah kisah 3 orang sahabat Rasulullah s.a.w yang tertinggal dari mengikuti Perang Tabuk yang seterusnya dipulau sebagai hukuman kesalahan mereka. Walaupun dipulau, hati mereka yang penuh dengan iman tabah menghadapinya. Ia pastinya jauh lebih baik daripada berdusta dengan alasan keuzuran yang tidak wujud di kalangan para munafik. Allah menerima taubat mereka yang benar-benar menyesal atas kesalahan mereka. Taubat mereka yang benar-benar beriman pada Allah dan RasulNya.