Follow Me on Twitter

Thursday, January 6, 2011

Sedikit vs Ramai

Pernah lihat situasi sekumpulan orang ramai menggertak seseorang? Pernah lihat situasi sekumpulan orang berlagak hebat dan berbunyi riuh seperti dunia hanya milik mereka? Sehinggakan wujud rasa bimbang orang sekeliling apabila melihat tindak-tanduk mereka.

Tapi bukanlah semuanya begitu. Apa yang aku fokuskan adalah golongan orang berkumpul ramai dan membuat huru-hara serta berlagak hebat. Sedangkan jumlah yang ramai itu sebenarnya ibarat buih di lautan sahaja.


Dalam sejarah Nabi Muhammad s.a.w, ketika baginda seorang diri memasuki Masjidil Haram untuk sembahyang, baginda dihampiri dan dikelilingi oleh para pembesar Quraisy, dan mereka bertanya baginda dengan marah,

“Engkaukah yang berkata kami semua sesat? Engkaukah yang menghina tuhan-tuhan kami dan tuhan-tuhan orang tua kami? Engkaukah yang memperbodohkan kami dan datuk nenek kami?”

Semua soalan yang ditanyakan berbentuk mendesak dan menekan, bukanlah mahukan jawapan tetapi semata-mata ingin membakar perasaan baginda dan mencetuskan perlakuan kasar.

Baginda menjawab dengan tegas,

“Ya, akulah yang berkata sedemikian”

Setelah baginda menjawab, salah seorang musyrikin Quraisy mula menarik jubah baginda sesuka hati. Kemudian yang lain mula menarik rambut dan janggut baginda. Kalau diikutkan tenaga nabi kita yang seorang itu mampu sahaja mengalahkan mereka, tetapi baginda tetap bersabar.

Mujurlah kedatangan Abu Bakar as-Siddiq meredakan sedikit apabila Abu Bakar cuba membantu nabi namun dirinya pula dikeronyok oleh musyrikin Quraisy itu iaitu Abu Jahal, Utbah bin Rabiah, al-Ass bin Wail, an-Nadhar bin al-Harith, Ubai bin Khalaf dan lain-lain lagi.

Baginda Rasulullah s.a.w tidak mudah melatah apabila diri banginda dicela. Begitu juga apabila orang bukan Islam mencela Islam dan memandang rendah kepada agama yang mulia ini. Baginda terus bersikap tenang dan lemah lembut serta menunjukkan contoh teladan yang baik.

Lemah lembut tetapi tegas. Bukan semberono marah dan memaki hamun. Tindakan sedemikian hanya menimbulkan tanggapan yang kurang baik. “Lihatlah Muhammad, dia memaki hamun orang lain”

Tetapi nabi kita jauh sekali bersikap sedemikian. Semakin marah maka semakin sabar, dan baginda malu berkata perkataan yang kesat dan tidak elok.

Kembali kepada isu jumlah yang ramai. Sebenarnya tiada apa yang perlu dibanggakan dengan jumlah yang ramai semata-mata untuk menggertak atau mengganggu keamanan.

Apatah lagi bila keyakinan dan keberanian untuk bertindak sedemikian terbit hanya kerana berasa selamat dengan jumlah yang ramai. Bukan berpunca daripada diri sendiri.

Mengikut sejarah Nabi Muhammad s.a.w, dalam setiap operasi rondaan tentera Islam, bilangan tentera Islam yang dihantar adalah sedikit sekitar 20 ke 70 orang. Pasukan peronda pertama yang dikepalai Hamzah bin Abdul Muttalib hanya 30 orang (Pernah berdepan rombongan perniagaan musyrikin Quraisy seramai 300 orang)

Begitu juga dalam sejarah popular Perang Badar, ketika tentera Islam seramai 305 orang berdepan dengan tentera musyrikin seramai 950 orang. Hanya 14 orang tentera Islam terkorban syahid berbanding 70 orang terbunuh di pihak musyrikin dan 70 orang berjaya ditawan.

Kemudian dalam Perang Uhud, jumlah tentera Islam seramai 700 orang (setelah Abdullah bin Ubai, ketua munafik menarik diri berserta 300 orang pihaknya) menentang tentera musyrikin Quraisy seramai 3000 orang.

Dalam Perang Ahzab, tentera Islam seramai 3000 orang berdepan tentera musyrikin yang dibantu kaum Bani Kinanah, Bani Tihamah, orang-orang Habisy dan Ghatafan yang berjumlah secara kasarnya 10,000 ke 12,000 orang (yang kemudiannya buntu apabila melihat parit sepanjang 40 hasta)

Dalam Perang Mut’ah, ketika tentera Islam seramai 3000 orang disambut gabungan tentera Rom Timur – Ghassan seramai 200,000 orang. Tentera Rom Timur datang membantu hanya kerana mendengar tentera Islam dipimpin Zaid bin Harithah. Walaupun tiada keputusan tetap dicapai tetapi taktik Khalid al-Walid yang panjang akal jelas mengalahkan semangat tentera Rom yang mula bimbang dengan bilangan tentera Islam yang baru datang (sebenarnya tiada).

Tradisi jumlah sedikit yang mengalahkan jumlah yang ramai diteruskan pula dalam kebanyakan filem barat. Lihat saja filem yang memaparkan kehebatan Achilles, Robin Hood, Rambo dan James Bond. Juga filem seperti G.i Joe dan The Expendables. Aku percaya pasti ada juga yang kagum dengan watak mereka.

Kesimpulannya, jangan berbangga dengan jumlah yang ramai ketika berkumpul bersama, hingga mula mengganggu ketenteraman orang lain. Lebih elok kalau jumlah yang ramai itu berkumpul untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan dengan penuh hemah dan rasa hormat disertai semangat juang yang ikhlas.