Follow Me on Twitter

Monday, February 14, 2011

12 Rabiulawal 1432H: This is not the end

12 Rabiulawal 1432H. Tarikh yang tertera dalam kalendar Islam. Tarikh yang menandakan lahirnya insan teragung dan terpuji, Nabi Muhammad s.a.w. Selamat menyambut Maulidur Rasul buat semua umat Islam. Namun aku ingin bercerita dari sudut yang berbeza.

Di sebalik hari kelahiran baginda, tarikh 12 Rabiulawal ini juga merupakan tarikh wafatnya baginda pada usia 63 tahun. Mengikut riwayat, dikatakan baginda wafat ketika matahari sedang naik dalam waktu dhuha. Baginda sempat menunaikan solat subuh secara berjemaah sebagai makmum dengan sembahyang sambil duduk.

Selesai sahaja solat, baginda sempat menyampaikan pesanan kepada para sahabat dengan linangan air mata dan suara yang lantang.

“Wahai manusia! Api neraka sudah dinyalakan, fitnah-fitnah sudah datang seperti datangnya malam yang gelap gelita. Demi sesungguhnya aku tidak pernah menghalalkan sesuatu, melainkan apa-apa yang dihalalkan oleh al-Quran, dan aku tidak mengharamkan sesuatu, melainkan apa-apa yang diharamkan oleh al-Quran,”

Itulah wasiat dan pesanan baginda yang terakhir sebelum masa wafat baginda.

Sayyidina Umar bin al-Khattab yang ketika itu berusia 50 tahun adalah di kalangan yang terawal menerima berita wafatnya baginda. Namun, Sayyidina Umar mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w hanya pengsan dan Umar mengugut akan memotong kaki dan tangan orang yang mengatakan baginda wafat.

Atas rasa sayangnya pada Nabi Muhammad s.a.w, Sayyidina Umar tidak dapat menerima kenyataan wafatnya baginda hinggakan amukan Umar membuatkan para sahabat bingung. Lebih-lebih lagi apabila Sayyidina Umar masih tetap dengan pendiriannya bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak wafat.

Sehinggalah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq yang berusia 60 tahun mendengar khabar berita itu dan memastikannya, lalu ia berjumpa Umar dan berkata,

“Wahai manusia! Barangsiapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah wafat. Dan barangsiapa menyembah Allah, maka Allah tetap hidup tidak akan mati-mati.

Sayyidina Abu Bakar kemudiannya membaca sepotong ayat al-Quran dari surah ali-Imran ayat 144 yang bermaksud,

“Tidaklah Muhammad itu melainkan hanya seorang Rasul. Telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah setelah dia wafat atau terbunuh, kamu semua akan berpaling ke belakang (menjadi murtad)? Sesungguhnya barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka Allah tidak rugi sedikitpun. Sesungguhnya Allah akan membalas terhadap orang-orang yang bersyukur.”

Mendengar semua ini dibacakan, Sayyidina Umar jatuh tersungkur ke bumi dan dahinya menyentuh tanah tanda memohon ampun atas keterlanjurannya tidak dapat menerima hakikat dan ketentuanNya.

Betapa kasihnya sahabat kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Mujurlah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq yang bersikap tenang berjaya menyedarkan Sayyidina Umar.

p/s:Selawat ke atas mu ya Rasulallah, Nabi Muhammad s.a.w. Perginya dirimu satu permulaan dan bukannya pengakhiran.

Sumber kisah yang diriwayatkan
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.