Follow Me on Twitter

Friday, February 25, 2011

Peranan Unit Penerbitan Drama

Apakah peranan unit penerbitan drama di televisyen? Mungkin ada beberapa peranan yang pembaca sendiri boleh fikirkan. Antaranya memberikan kesedaran melalui contoh teladan yang baik serta memberikan lebih kefahaman berkenaan sesuatu isu.

Apa yang aku cuba bangkitkan di sini adalah peranan penerbitan drama untuk memberikan lebih kefahaman kepada masyarakat tentang undang-undang dalam keluarga Islam. Ini kerana institusi keluarga merupakan institusi yang penting dalam Islam kerana di sinilah bermula corak kehidupan asas seorang muslim.

Penerbitan drama dilihat mampu memainkan peranannya dengan baik apabila ada yang cuba menimbulkan kesedaran tentang beberapa isu berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam. Tetapi ada beberapa babak yang diharap boleh dielakkan supaya tidak mempengaruhi dan mengelirukan masyarakat.

Cerai di luar Mahkamah

Prinsip asas bagi perceraian adalah setiap perceraian perlu mendapat kebenaran Mahkamah. Walaupun talak adalah kuasa lelaki, tetapi adalah lebik baik jika tiada babak seorang suami yang marah lalu terus melafazkan talak, lebih-lebih lagi talak tiga. Proses permohonan cerai perlu dibuat dan lafaznya dilakukan di hadapan Mahkamah. Apakah rasionalnya? Supaya pasangan yang hendak bercerai mempunyai masa untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka. Boleh juga mengelakkan daripada dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Cina buta

Seorang suami yang telah melafazkan talak tiga kepada isterinya hanya boleh berkahwin dengan isterinya semula setelah isterinya dikahwini lelaki lain lalu diceraikan serta habis tempoh iddah.  Tetapi perkahwinan semula isteri itu bukanlah melalui perjanjian atau rancangan cina buta.

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah

Seorang suami takut isterinya tidak bersetuju terhadap niatnya hendak berpoligami lalu ia nekad hendak berkahwin lain di sempadan. Ia boleh dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.Sedangkan persetujuan isteri bukanlah syarat wajib tetapi hanya salah satu aspek yang ingin diketahui Mahkamah. Adalah penting untuk memberitahu niat berpoligami kepada isteri kerana isteri merupakan salah seorang individu yang dipanggil ke hadapan Mahkamah bagi keterangan berkenaan permohonan.

Isteri dihalau selepas diceraikan

Ia adalah satu kesilapan sama sekali. Suami perlu sedar bahawa isteru yang diceraikannya masih mempunyai hak ke atas tempat tinggal kerana ia merupakan sebahagian nafkahnya. Dan hak tersebut hanya gugur antaranya apabila tempoh iddah telah tamat atau apabila perempuan itu berkahwin semula.

Isteri ditinggalkan tanpa nafkah

Amat kasihan melihat nasib isteri apabila suami meninggalkannya tanpa wang perbelanjaan. Hanya berdiam diri menumpang teduh di tempat tinggalnya. Sedangkan permohonan kepada Mahkamah boleh dibuat agar Mahkamah memerintahkan nafkah itu dibayar oleh suaminya atau orang lain.

Cukuplah itu sahaja dahulu. Mungkin jika ada isu lain akan ditulis pada entri akan datang.

Contoh peruntukan undang-undang:
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
Seksyen 125:Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah
Seksyen 23:Poligami
Seksyen 124:Poligami tanpa kebenaran Mahkamah
Seksyen 72:Hak tempat tinggal
Seksyen 60:Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz

p/s:Masih dalam mood serius…tunggu match Wigan vs Manchester United malam esok…