Follow Me on Twitter

Thursday, March 3, 2011

Bantuan kepada orang zalim

Telah diriwayatkan dalam satu kisah, setelah selesainya Perang Bani Mustaliq, Nabi Muhammad s.a.w dan tentera Islam yang lain berehat di kawasan Telaga Muraisi’. Mereka berehat dan duduk dalam keadaan berkelompok-kelompok disebabkan jumlah mereka yang seramai 1000 orang.

Pada ketika itulah, dua orang sahabat bangun menuju ke Telaga Muraisi’ untuk mengambil air. Entah kenapa mereka merasa terdesak untuk mengambil air padahal air itu boleh diambil dengan baik. Maka, berlakulah pertengkaran antara mereka akibat tidak sabar.

Pertengkaran itu pada mulanya hanya melibatkan Jahjah bin Saad dari kalangan Muhajirin, dan Sinan bin Wabar dari kalangan Ansar suku kaum Khazraj. Namun, datang pula seorang Muhajirin bernama Ja’al di antara mereka lalu ditamparnya Sinan. Kemudian, Jahjah turut menampar Sinan hingga berdarah mukanya.

Apa lagi, Sinan lantas memanggil golongan Ansar dan juga sukunya kaum Khazraj.

Adakah Jahjah berdiam diri? Tidak. Lantas dipanggilnya juga Muhajirin dan Quraisy.

Maka berkumpullah kedua-dua golongan kaum yang merupakan sahabat nabi di kawasan Telaga Muraisi’ itu sambil memegang pedang masing-masing.

Kenapa mesti bergaduh di medan perang? Sedangkan musuh bila-bila masa boleh menyerang. Disebabkan itu berita ini dipandang serius oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tanpa berlengah lagi bergegas ke tempat perkelahian itu.

Mengapa kamu menghidupkan lagi semangat Jahiliyyah ini?

Ya Rasulallah, seorang Muhajirin telah memukul seorang Ansar

Baginda menjawab, “tinggalkanlah perkataan ini. Ia adalah seruan Jahiliyyah

Tidak ya Rasulallah, sehingga mereka saling membalas perbuatan tampar itu

Maka jawab baginda,

Sudahlah! Hendaklah seseorang itu menolong saudaranya yang menzalimi dan dizalimi. Cara menolong saudara yang menzalimi adalah dengan menegahnya melakukan kezaliman, dan menolong saudara yang dizalimi adalah dengan menegahnya juga

(boleh dilihat pada no. 2263, Imam al-Buhkari, dan no. 4681, Imam Muslim)

Setelah mendengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w, maka orang Muhajirin lantas meminta maaf bagi pihak Jahjah bin Saad. Dan Sinan bin Wabar menerima kemaafan tersebut dengan hati terbuka.

Sumber kisah riwayat
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.