Follow Me on Twitter

Monday, March 14, 2011

Bertuahnya golongan Ansar!

Amaran: Entri perkongsian ini panjang. Harap boleh dibaca hingga habis.

Telah diriwayatkan suatu peristiwa yang berlaku setelah Perang Hunain, di mana ketika Nabi Muhammad s.a.w membahagikan harta rampasan perang, baginda langsung tidak memberikan bahagian kepada golongan Ansar, sedangkan jumlah mereka paling ramai.

Hinggakan ada bisik-bisik yang tidak menyedapkan hati apabila ada yang menganggap baginda melupakan golongan Ansar dan meninggikan golongan Quraisy serta hanya mempergunakan mereka ketika berlaku krisis.

Namun, hikmah daripada tindakan baginda sebenarnya tidak diketahui oleh golongan Ansar. Nabi Muhammad s.a.w memberikan harta kebendaan kepada ketua-ketua dan pembesar kaum Quraisy adalah untuk mententeramkan hati mereka yang baru sahaja memeluk Islam sama ada sukarela mahupun terpaksa.

Dan untuk menghilangkan rasa tidak puas hati golongan Ansar, Nabi Muhammad s.a.w kemudiannya memanggil mereka berkumpul di hadapan baginda untuk memastikan adakah benar terdapat bisik-bisik yang disebut tadi.

Kemudian baginda berpidato kepada golongan Ansar,

“Wahai kaum Ansar! Bukankah aku dapati dahulunya kamu berada dalam kesesatan, lalu Allah memberi petunjuk kepadamu? Bukankah kamu dalam keadaan miskin, lalu Allah mengkayakanmu? Bukankah kamu dahulunya saling bermusuhan dan Allah menyatukan kamu?”

Orang Ansar menjawab,

“Benar wahai Rasulullah! Allah dan RasulNya telah banyak memberi kurniaan kepada kami.”

Kemudian baginda bertanya,

“Tidakkah kamu ingin membalas apa yang aku perkatakan tadi?”

Orang Ansar menjawab,

“Dengan apakah kami ingin membalas pertanyaanmu wahai Rasululullah, bagi Allah dan RasulNya segala kebaikan dan keutamaan.”

Baginda seterusnya menjawab,

“Wahai kaum Ansar! Sekiranya kamu boleh menjawab maka jawapan itu benar dan dibenarkan: Engkau datang kepada kami dalam keadaan engkau didustakan, lalu kami membenarkan engkau, engkau datang kepada kami dalam keadaan disia-siakan, lalu kami menolong engkau, engkau datang kepada kami dalam keadaan engkau diusir, lalu kami memberi tempat kepada engkau, engkau datang kepada kami dalam keadaan melarat, lalu kami membantu engkau, engkau datang dalam keadaan takut, lalu kami mengamankan engkau.”

Ketika itu, air mata kaum Ansar mula bergenang dan mula membasahi pipi dan janggut mereka. Hati mereka mula berasa sebak kerana terharu atas kata-kata baginda, Nabi Muhammad s.a.w.

Baginda kemudiannya menyambung lagi,

“Wahai orang Ansar! Apakah masih ada dalam hati kamu cinta kepada harta dunia? Yang aku gunakan untuk mengikat hati satu kaum agar mereka menganut Islam? Apakah masih belum cukup kepada kamu Islam itu? Apakah kamu masih belum puas setelah mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kamu kembali dengan membawa Rasulullah pulang ke kampung halaman kamu? Demi Allah! Yang memegang jiwa Muhammad dalam genggamanNya, jika tidak kerana hijrah, nescaya aku adalah salah seorang orang Ansar. Jika ada manusia mengikut jalan ke sebuah lembah, dan orang Ansar mengikut jalan yang lain ke lembah yang lain, nescaya aku akan mengikut jalan yang dilalui orang Ansar.”

Mendengar kata-kata baginda sedemikian, golongan Ansar berasa menyesal atas keterlanjuran bisik-bisik sesama mereka yang menuduh Nabi Muhammad s.a.w mengutamakan kaum baginda dan melupakan mereka. Mereka terharu dan menangis apabila mengenangkan nikmat dan hikmah sebenar yang diperolehi mereka.

Maka, orang-orang Ansar berkata,

“Wahai Rasulullah, kami puas dan rela atas apa sahaja yang tuan aturkan.”

Sumber kisah:
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi