Follow Me on Twitter

Thursday, March 24, 2011

Rarely Asked Questions

Siapakah yang pernah merancang untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w ketika di Mekah sebelum Hijrah?

Abu Jahal orangnya. Dia memberikan cadangan ketika mesyuarat bersama pembesar Quraisy di Darun Nadwah. Dikatakan Iblis turut menyertai mesyuarat ini dengan menyerupai seorang sheikh dari Nejd.

Bagaimanakah cadangannya?

Setiap kabilah diwakili beberapa pemuda yang diberikan pedang untuk menetak Nabi Muhammad s.a.w. Seramai 40 orang pemuda dipilih dari setiap kabilah. Ini bagi mengelakkan Bani Hasyim dan Bani Abdul Manaf tidak mampu menuntut bela ke atas semua kabilah. Maka mereka hanya akan dibayar diat atas pembunuhan Nabi Muhammad s.a.w.

Modus Operandi?

Mereka seramai 100 orang termasuk 40 orang pemuda yang dipilih mengepung rumah Nabi Muhammad s.a.w pada tengah malam dan menunggu saat keluarnya baginda pada sebelah pagi.

Taktik Nabi Muhammad s.a.w?

Baginda mengarahkan Ali bin Abu Talib tidur di atas katil baginda bagi melengahkan dan mengaburi pandangan mereka bahawa baginda masih ada di dalam rumah jika ada yang mengintai di celah lubang dinding.

Kenapa Ali bin Abu Talib?

Ali memang dipelihara Nabi Muhammad s.a.w sejak kecil lagi. Ali juga memegang amanah pesanan baginda iaitu membawa isteri baginda Siti Saudah binti Zam’ah dan puteri baginda yang belum bersuami iaitu Siti Ruqaiyyah, Siti Ummu Kalthum dan Siti Fatimah selepas baginda berhijrah dengan ditemani Abu Bakar as-Siddiq.

Ali juga diberi pesanan agar memulangkan barang-barang yang diamanahkan orang-orang musyrikin kepada baginda.

Apa kaitan orang-orang musyrikin dengan barang amanah?

Mereka mempercayai Nabi Muhammad s.a.w seorang yang amanah untuk menjaga barang-barang mereka. Tetapi kerana lebih sayangkan kebesaran dan takutkan siksaan pembesar Quraisy, mereka menolak kebenaran yang dibawa.

Apa yang mereka tidak faham?

Islam tidak melucutkan jawatan dan kebesaran yang sedia dipegang. Memeluk Islam tidak menjadikan seorang raja menjadi rakyat biasa. Memeluk Islam tidak menjadikan seseorang hilang maruah. Memeluk Islam tidak bermakna memutuskan hubungan keturunan.

p/s: Olahan semula dari Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.