Follow Me on Twitter

Saturday, March 19, 2011

Rawatan secara Islam

Baru sahaja kembali dari melawat nenek. Alhamdulillah, keadaan nenek semakin pulih, dan khabarnya keputusan siasatan doktor berkenaan penyakit Tibi adalah negatif. Katanya batuk berdarah nenek adalah disebabkan batuk yang terlalu kuat.

Walau apa pun, diharapkan nenek kembali pulih dan boleh keluar dari hospital. Jika ada sebarang penyakit, akan diusahakan untuk merawatnya, walau apa jua alternatif, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram.

Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya:

“Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan setiap penyakit mempunyai penawarnya. Maka, rawatilah penyakit itu, tetapi jangan menggunakan perkara yang haram”
(Riwayat Abu Daud, no 3376)

Apabila berbicara tentang rawatan ini, aku merasakan artikel yang ditulis bekas pensyarah undang-undang aku, Ustaz Mohd. al-Adib Samuri tidak ternilai harganya. Beliau menulis mengenai rawatan secara Islam mengikut sunnatullah dan syariatullah (Majalah Solusi #27, ms 93).

Beliau berpendapat adalah tidak wajar jika kita memandang prejudis perubatan moden mahupun perubatan berdasarkan jampi ayat-ayat al-Quran kerana kedua-duanya adalah rawatan yang dianjurkan dalam Islam.

Perubatan moden itu sendiri merupakan ilmu yang terbina dan dikembangkan oleh para ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Sina. Ibn Sina mengkaji bagaimana satu penyakit itu boleh disembuhkan melalui proses rawatan dan ubatan. Ia adalah selari dengan peraturan Allah (sunnatullah).

Manakala penggunaan ayat-ayat al-Quran dan doa yang diajar Nabi Muhammad s.a.w pula adalah sebahagian proses mematuhi syariat Allah (syariatullah). Jadi tidak ada salahnya kita mengamalkan ayat-ayat itu lalu dibacakan ke atas pesakit.

Tambahan beliau lagi, kedua-dua aspek ini jika dapat diselarikan dan dilakukan serentak, insyaAllah dengan izin-Nya, kita bakal mendapat semula nikmat sihat itu. Memang ada benarnya pendapat beliau itu, dan aku bersetuju dengannya. Dan bagi aku, inilah corak rawatan secara Islam yang sebenar.