Follow Me on Twitter

Friday, March 4, 2011

Tingkat takwa

Air tin memang sedap diminum. Habis diminum pula seronok dipijak, ditendang dan dibuang sesuka hati. Bukan sahaja tin minuman, malah pelbagai jenis sampah lagi yang mungkin kita buangkan ia merata-rata.

Apa guna pekerja pembersihan dan pengutip sampah? DBKL? Alam Flora? Mereka dibayar gaji bukan?

Mentaliti ini membuatkan kita memandang hina pekerjaan tersebut. Lalu membangkitkan sifat tagha dalam diri, iaitu berasa diri serba mampu malah melampaui batas. Merasakan diri mulia dan hanya layak untuk sesuatu yang lebih penting berbanding hal ‘remeh-temeh’ seperti membuang sampah di tempat sepatutnya.

Sifat tagha itu kemudiannya bertukar takabur* kerana merasakan masa depan diri lebih baik lantas dalam masa yang sama memperkecilkan orang lain. Maka, dengan itu berdosalah kita kerana telah mempersekutukan Allah secara tersembunyi dengan rasa takabur dan sifat tagha kita. Berdosa kepada Allah, manusia dan alam sekitar.

Rakan kita kelihatan runsing dengan masalah yang dihadapinya. Sukar benar untuk dia memahami persoalan yang diberikan. Sememangnya tahap kefahaman manusia itu berbeza. Tetapi kita hanya membatukan diri dan tersenyum dalam hati kerana kita perasan kita lebih hebat.

Apabila diminta bantuan, kita hanya menggelengkan kepala bahkan mengeluarkan kata-kata yang berunsur negatif selepas itu.  Rakan hanya memandang kecewa malah mula mencela dirinya sendiri. Mencela diri yang merupakan hasil ciptaan Allah yang terbaik.

Kita pula bertepuk tangan dan seronok bercerita tentang kelemahan rakan itu kepada rakan yang lain. Ia menjadi bahan gelak ketawa dan sindiran yang berlanjutan serta semakin tersebar. Bertambahlah dosa kita ketika itu. Dosa kepada manusia dan juga Allah.

Ibn Abbas berkata,**

“Orang yang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syirik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil).”

Maka, entri hari ini sekadar nasihat dan seruan kepada sahabat-sahabat, marilah kita bertakwa kepada Allah (seperti yang diseru khatib setiap Jumaat), dan salah satu tingkat takwa itu adalah tidak memandang kepada besar kecilnya dosa yang dilakukan, tetapi melihat kepada siapa kita berdosa.

Wallahualam.

* Akhbar ILUVISLAM, 28 Jan – 3 Feb, m/s 9.
** Majalah SOLUSI Isu #27, m/s 19.