Follow Me on Twitter

Tuesday, April 5, 2011

Al-Quran dan kita

Serious Mode: ON

Lima penunjuk perasaan dan tujuh kakitangan asing Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kejadian tunjuk perasaan di Kandahar yang dilaporkan oleh akhbar Berita Minggu Ahad lepas (3 April 2011).

Dan melalui apa yang aku baca, leher mangsa asing dikelar serta sebahagian bangunan pejabat PBB dibakar dalam tunjuk perasaan yang dilakukan demi membantah tindakan membakar naskhah al-Quran oleh seorang paderi di Florida.

Akhirnya aku terpanggil jua untuk menulis dan menyatakan pendapat aku dalam blog ini tentang hal tersebut setelah membaca berita berkenaan.

Aku kurang bersetuju sekiranya tunjuk perasaan diadakan dalam keadaan yang tidak terkawal. Dalam hal ini aku lebih suka bersikap berhati-hati dan meletak syak wasangka, bahawa terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan atas keadaan itu. Mungkin ada yang diupah untuk bertindak liar lalu yang dipersalahkan adalah orang Islam sendiri.

Jika ia benar-benar melibatkan orang Islam yang benar-benar marah, mungkin dia perlu melihat sesuatu dari sudut yang berbeza: Tindakan membakar al-Quran memang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana kita membantu memelihara dan menjaga a-Quran lebih perlu dirisaukan.

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya"
(Surah al-Hijr: 9)

Ya, Al-Quran dikatakan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang kekal hingga ke hari kiamat. Berdasarkan ayat di atas, Allah telah berjanji untuk memelihara dan menjaganya.

Tetapi bukanlah bermakna kita hanya duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Dan bukanlah juga kita terus bertindak menunjuk perasaan apabila ada pihak yang takut dengan kehebatan al-Quran yang ingin memusnahkannya.

Namun, menurut pandangan aku, kita perlu berusaha menjaga al-Quran dengan membaca dan menghafalnya, memahami segala maksud tafsiran setiap kalam Allah itu serta mengamalkan setiap yang tertulis dalamnya.

Dengan itu, dengan izin Allah, cubalah beberapa kali pun membakarnya, ayat-ayat suci al-Quran tetap disebarkan, naskhah al-Quran tetap diterbitkan, golongan yang menghafal al-Quran sentiasa bertambah, golongan yang memahami al-Quran lalu memeluk Islam juga bertambah, dan setiap isu baru dirujuk langsung kepada al-Quran dan sunnah, sebelum dibahaskan melalui kaedah lain.

Akhirnya, generasi al-Quran dilahirkan, dalam apa jua bidang, dari kedoktoran hingga ketenteraan, dari ekonomi hingga perkhidmatan, dan sekalipun tidak dapat menyaingi generasi terbaik ketika zaman para sahabat Nabi Muhammad s.a.w, kita dapat mencontohi mereka.