Follow Me on Twitter

Thursday, April 14, 2011

Belajar seumur hidup

Musim peperiksaan sedang berjalan rancak di kebanyakan universiti sekarang ini, kan? Pastinya situasi yang mencabar buat semua mahasiswa. Ada yang tertekan dan ada yang boleh menghela nafas lega kerana sudah membuat persediaan rapi.

Sebenarnya, musim peperiksaan bukanlah sesuatu yang boleh membuatkan kita terlalu tertekan untuk mengulang kaji pelajaran. Pada pandangan aku, proses pembelajaran itu sendiri berlaku seumur hidup dan bukan hanya difokuskan untuk peperiksaan.

Maka, adalah lebih baik proses itu dilakukan setiap masa dan bukan menunggu di saat akhir menjelang peperiksaan supaya kita tidak menghadapi tekanan melampau.

Al-Quran sendiri telah menekankan konsep pembelajaran seumur hidup. Dimulakan dengan wahyu pertama diturunkan kepada nabi junjungan Nabi Muhammad s.a.w, iaitu Surah al-Alaq, ayat 1 dan 4.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”
Al-Alaq:1

“Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
al-Alaq:4

Ia sebagai tanda menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas kita dan ia boleh diperoleh salah satunya melalui pembacaan. Jadi, membaca adalah suatu tabiat yang sebenarnya kita perlu terapkan dalam diri agar ia menjadi kebiasaan dan membuatkan kita sentiasa dahagakan ilmu darinya.

Selain itu, Al-Quran juga sekali lagi menjadi tunjang untuk prinsip pembelajaran asas berdasarkan terjemahan potongan ayat dalam Surah an-Nahl, ayat 43:

Oleh itu tanyakanlah kepada ahli zikir (orang yang sentiasa ingat kepada Allah), jika kamu tidak mengetahui. 

Ia menjadi prinsip asas, untuk kita bertanya sesuatu yang tidak kita ketahui kepada orang yang benar-benar mengetahuinya.

Sekalipun kita mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak, secara automatiknya kita merasakan lebih banyak yang belum kita ketahui. Dengan peredaran zaman teknologi yang semakin canggih dan kemunculan isu-isu baru, maka terdapat banyak ilmu yang boleh kita pelajari daripada orang yang betul-betul pakar.

Dan apabila kita tidak membuat kesimpulan awal dengan mudah, kita juga pastinya faham bahawa adalah lebih baik untuk menjadi seorang pakar supaya kita boleh memberi manfaat kepada orang yang ingin bertanya dan mendalami sesuatu ilmu atau kerjaya.

Maka, dengan itu proses pembelajaran dengan sendirinya menjadi proses pembelajaran seumur hidup seiring dengan apa yang digariskan oleh Al-Quran.

p/s: 9 hari ke Pesta Buku Kuala Lumpur!