Follow Me on Twitter

Friday, April 1, 2011

Ini baru terkena!!

Alkisahnya selepas Abu Sufyan bin harb memeluk Islam, demi membuang rasa fanatiknya terhadap berhala, dia diutus Nabi Muhammad s.a.w untuk memusnahkan berhala Lata, berhala paling besar yang berada di Taif.

Bersama dengannya adalah al-Mughirah bin Syu’bah, seorang penduduk jati Taif suku Thaqif. Setelah berbincang, al-Mughirah bersetuju untuk melaksanakan tugas itu dan Abu Sufyan hanya memandang.

Pada ketika itu, orang-orang Thaqif yang telah memeluk Islam, tapi masih mempunyai sisa-sisa syirik dalam hati mereka, bahawa Lata yang besar itu tidak boleh diruntuhkan turut serta di situ. Sebaik sahaja al-Mughirah bersedia dengan kapak di tangannya mereka mula memekik.

Tiba-tiba…

al-Mughirah jatuh tersungkur ke tanah! Kelihatan pengsan dan tidak bergerak…

Maka bersoraklah orang-orang Thaqif lalu mengejek-ngejek al-Mughirah.

“Tuhan kami telah mengutuk Mughirah! Lata telah membinasakan dia! Tiada siapa boleh meruntuhkan Lata! Siapa yang cuba pasti dihapuskan!” Mereka bersorak keriangan.

al-Mughirah yang pengsan nampaknya tidak dapat lagi menahan gelaknya lalu duduk bersila. Rupa-rupanya dia telah berpakat dengan beberapa orang kawannya untuk mengenakan orang Thaqif. Dia ketawa dengan begitu kuat apabila memikirkan orang Thaqif yang percaya Lata melaknatnya.

“Apakah kamu menyangka aku boleh dikalahkan batu dan lumpur ini?”

Lalu dengan tangkasnya al-Mughirah bin Syu’bah melompat naik ke rumah berhala dan memarang kepala patung itu serta badannya hingga ranap.

Sumber kisah:
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi