Follow Me on Twitter

Tuesday, April 26, 2011

Secebis kisah impian

“Mak, kalau jadi tentera laut, ok tak?”

Hasrat sedemikian pernah dinyatakan kepada emak. Namun, emak kelihatan tidak merestuinya dan memberi alasan ia adalah kerja yang berbahaya. Emak lebih suka aku menjadi Ustaz atau Hafiz, dan lebih khusus lagi menjadi seorang Hakim Syarie.

Aku tidak punya masalah tentang itu, kerana aku meminati bidang undang-undang. Jika diikutkan, bidang ketenteraan juga melibatkan undang-undang. Mungkin lebih tepat lagi jika difokuskan kepada bidang penguatkuasaan undang-undang.

Ya, ia satu kepuasan apabila dapat menguatkuasakan undang-undang. Itulah perasaan yang aku kecapi sewaktu bertugas di bahagian penguatkuasaan dan bahagian-bahagian lain di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor. Dan ketika itu juga ramai yang memanggil aku ‘ustaz’ sedangkan aku cuma pelajar praktikal.

Maka emak mula bersikap lebih terbuka, untuk tahu ilmu agama bukanlah bermaksud hanya perlu menjadi Ustaz. Tetapi ia merupakan kelebihan untuk diterapkan dalam pelbagai bidang. Misalnya, menjadi doktor yang tahu ilmu agama. Menjadi juruterbang yang tahu ilmu agama dan sebagainya.


Dengan itu, aku memilih untuk terus menyalakan impian. Namun, bukanlah dalam bidang ketenteraan, tetapi lebih kepada penguatkuasaan. Penguatkuasaan Maritim. Dan aku bakal bermula sebagai Laskar II Maritim yang mempunyai sedikit pengetahuan undang-undang Syariah. InsyaAllah, selepas training nanti.

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,”
Surah al-Alaq: 6

Cuma apa yang perlu ditekankan, adalah semoga sifat tagha, (melampaui batas, merasakan diri penuh kemampuan, berkuasa, berasa pintar dan bangga) tidak berada dalam diri. Kerana di akhirnya aku perlu sedar, bahawa aku manusia yang perlu sentiasa belajar, dan lemah sebagai hamba-Nya.

Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).”
Surah al-Alaq: 8