Follow Me on Twitter

Friday, April 1, 2011

Siapa Abu Dujanah?

Kisah ini berlaku menjelang Perang Uhud, yang mana terjadi disebabkan musyrikin Quraisy yang tidak senang duduk dengan kerajaan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah serta berdendam atas kekalahan mereka di Badar.

Apabila tentera Islam sedang berhadapan dengan musuh, Nabi Muhammad s.a.w mengeluarkan pedang baginda yang diberi nama Zulfikar lalu berkata,

“Siapakah yang mahu mengambil pedang ini dengan haknya?”

Maka beberapa orang sahabat seperti Sayyidina Ali. Sayyidina Umar dan az-Zubair bin al-Awwam berhuluran tangan mahukan pedang tersebut. Hinggakan az-Zubair bin al-Awwam meminta kepada baginda sebanyak tiga kali namun ditolak baginda.

Ketika itu, bangunlah seorang sahabat lalu bertanya,

“Apakah haknya wahai Rasulullah?

Baginda menjawab,

“Pukul musuh hingga mata pedang ini bengkok”

Dan sahabat itu dengan penuh yakin dan bersemangat menjawab,

“Saya akan mengambilnya dengan haknya.”

Lalu baginda memberikan pedang itu kepadanya dan sahabat itu ternyata menunaikan haknya. Dia mara ke arah musuh hingga tanpa disedari berada di bahagian barisan belakang musuh. Dengan ikat kepala berwarna merah, dia terus mara.

Dialah Abu Dujanah.

Pedang Zulfikar yang dipegangnya hampir meragut nyawa seseorang yang mana ditentukan Allah memeluk Islam di kemudian harinya. Disebabkan dia seorang perempuan, dan demi kemuliaan pedang Nabi Muhammad s.a.w, Abu Dujanah tidak membunuh perempuan itu. Perempuan itu adalah Hindun binti Utbah.

Kemudian, Abu Dujanah terus menerkam musuh. Malah ketika tentera Islam diserang balas, sahabat ini sanggup menjadikan badannya perisai menahan anak panah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Namun dia tidak terbunuh.

Inilah kisah Abu Dujanah, sahabat yang tidak terkemuka tetapi mempunyai sikap yang perlu dicontohi.

Dia berani memikul tanggungjawab serta berani melaksanakannya.

Ia adalah berbeza dengan berani memikul tanggungjawab, tetapi tidak berani melaksanakannya.

Sumber kisah:
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi

p/s: Kepada yang mahu kisah lain berkenaan Nabi Muhammad s.a.w di blog ini, boleh klik pada label ye…