Follow Me on Twitter

Tuesday, April 19, 2011

Tulisanku condong

Sabtu lepas aku telah pun selesai menghadapi peperiksaan MUET bagi kertas ujian pemahaman, penulisan dan ujian pendengaran. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik dan semua soalan dapat dijawab, walaupun pada mulanya ada sesuatu yang merisaukan aku.

Apa yang merisaukan?


Gaya dan bentuk tulisan aku nampak kelam kabut. Sudah menjadi kebiasaan untuk menulis dengan laju dan ia membuatkan tulisan condong aku seperti cakar ayam. Harapnya pemeriksa faham apa yang aku tuliskan.

Maka, aku ingin ambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit hasil penulisan kertas kerja pensyarah KUIS, Juzlinda Mohd Ghazali serta pensyarah UKM, Prof. Madya Dr. Khairuddin Omar, Dr. Shahrul Azman dan Dr. Md Jan Nordin mengenai analisa tulisan tangan memfokus kepada aspek kecondongan.

Pada kebiasaannya, analisa tulisan tangan yang dikenali sebagai grafologi bertujuan untuk mengenal pasti perwatakan penulis. Ia dianalisa melalui ciri-ciri kecerunan garisan tapak, kecondongan huruf/bentuk huruf/nombor, jarak di antara huruf, perkataan dan baris, margin, ketinggian dan kelebaran huruf, kepantasan menulis, huruf I dan huruf t.*

Melalui analisa tersebut, perwatakan yang dikaitkan adalah berkenaan tahap tenaga, tahap komunikasi, kerangsangan untuk berjaya, tabiat kerja, kesensitifan dan ketrampilan.

Memfokuskan kepada aspek kecondongan:

Condong ekstrem ke kiri

Sudut kecondongan -50° ke -65°. Emosi tidak stabil dan menahan perasaan. Sukar didekati dan asyik memikirkan masa lalu serta terperangkap dalam dunia sendiri.

Amat condong ke kiri

Sudut kecondongan -28° ke -49°. Dingin dan menahan perasaan sebenar. Berdikari dan sukar diduga. Mengelak dan sukar untuk bermesra.

Condong ke kiri

Sudut kecondongan -5° ke -27°. Berat mulut dan menahan perasaan sebenar. Sering memberi reaksi dingin, namun bersifat diplomatik.

Tegak

Sudut kecondongan -4° ke -3°. Berdikari dan boleh bersendiri. Berjaga-jaga dan bersikap diplomatik. Menguasai perasaan dan tidak tunjuk perasaan.

Condong ke kanan

Sudut kecondongan 4° ke 30°. Luahan perasaan secara sederhana. Tindakbalas emosi yang sihat.

Amat condong ke kanan

Sudut kecondongan 31° ke 47°. Didominasi emosi. Amat penyayang, mesra, sensitif dan cemburu.

Condong yang ekstrem ke kanan

Sudut kecondongan 48° ke 65°. Sering menunjuk perasaan yang menguasai akal. Semangat membara dan mudah tersinggung. Sukar bergaul dan mudah tersentap. Gementar dan terlalu sensitif.

Condong tidak konsisten

Sukar diramal dan kurang pertimbangan. Tidak berdisiplin dan tidak stabil. Gementar.

Sumber
Juzlinda Mohd Ghazali, Prof. Madya Dr. Khairuddin Omar, Dr. Shahrul Azman dan Dr. Md Jan Nordin.  2005. Analisa Tulisan Tangan Secara Automatik Memfokus Kepada Aspek Kecondongan.

*Hall, K. 1999. Practical Guide to Handwriting Analysis. New York: Balck Dog & Leventhal Publishers, Inc.