Follow Me on Twitter

Sunday, May 22, 2011

Inspirasi untuk sabar dalam bersabar 2

13 + 10 = 23

Nabi Muhammad s.a.w

Inilah sumber inspirasi yang kedua, bagi sabar dalam bersabar. Nabi Muhammad s.a.w  contoh terbaik dalam terus bersabar mentaati perintah Allah, biarpun kedudukan baginda di sisi Allah telah ditentukan.

Selain itu, contoh terbaik untuk terus bersabar menghadapi musibah, dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang mengingati-Nya. Juga contoh terbaik untuk terus bersabar mengajak manusia ke arah kebaikan, kerana bukan sedikit rintangan yang perlu dihadapi Nabi junjungan kita ini.

Antaranya, mengikut kronologi;

·         Diejek dan diperolokkan, antaranya oleh Abu Jahal bin Hisyam, serta disakiti Abu Lahab bin Abdul Muttalib.

·         Orang Islam diseksa, sama ada dari golongan hamba atau merdeka, antaranya Bilal bin Rabah dan keluarga Yasir.

·         Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib dipulaukan selama 3 tahun oleh seluruh masyarakat Quraisy, setelah Mansur bin Ikrimah menulis surat pemulauan. Antara isinya, kaum Quraisy dilarang membeli apa-apa barang dari Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut baginda.

·         Abu Talib, bapa saudara Nabi dan Siti Khadijah, isteri Nabi, meninggal dunia. Dan Abu Talib pergi tanpa kalimah iman.

·         Usaha menganiayai dan membunuh Nabi Muhammad s.a.w mula dijalankan. Antaranya dilakukan Abu Jahal yang berlagak akan hartanya yang banyak dan kawannya yang ramai.

·         Nabi berdakwah ke Taif dan dihalau malah dibaling batu sepanjang perjalanannya keluar. Zaid bin Harithah berusaha melindungi ayah angkatnya.

·         Bermulanya proses hijrah dari Mekah ke Madinah. Nabi bersabar hingga diberi keizinan oleh Allah untuk berhijrah dengan datangnya wahyu, surah al-Anfal, ayat 30 tentang komplot Quraisy untuk membunuh Nabi.

·         Nabi Muhammad s.a.w mula mentadbir Madinah setelah berhijrah, namun masih berdepan ancaman Quraisy yang bertindak menyerang Madinah sekalipun rombongan perdagangan mereka sudah selamat. Itulah titik permulaan Perang Badar.

·         Berlaku beberapa peperangan sebelum Perang Uhud. Tentera Muslimin menerima serangan balas dan Nabi cedera teruk. Sebelum itu, baginda bersabar dalam membuat keputusan. Malah menerima pandangan orang muda supaya berperang di luar Madinah.

·         Perang Khandak atau Perang Ahzab menjelang. Kali ini kaum Muslimin menghadapi ancaman pasukan gabungan beberapa kabilah arab.

·         Nabi bersabar dan bersikap terbuka sekalipun baginda dianggap mempunyai kuasa veto. Cadangan sahabat masih diterima. Antaranya cadangan Salman al-Farisi untuk membina parit besar.

·         Nabi Muhammad s.a.w menerima Perjanjian damai Hudaibiyah, walaupun ia kelihatan berat sebelah tetapi sebenarnya memberikan keuntungan kepada umat Islam.

13 tahun Nabi Muhammad s.a.w berdakwah di Mekah, dan 10 tahun baginda berdakwah di Madinah. Dalam tempoh 23 tahun itu, baginda mengajak supaya menyembah Allah, meninggalkan kekufuran dan penyembahan berhala.

Soal iman dititikberatkan sebelum soal akhlak seperti menyuruh kepada kebaikan, seperti menyempurnakan amanah. Baginda melarang bercakap bohong, melarang menuduh perempuan baik melakukan maksiat, serta mengarahkan agar syariat Islam dilaksanakan.

23 tahun. Tempoh kesabaran yang menghasilkan generasi terbaik. Maka, jika hanya sehari, sejam, seminit, atau sesaat kita menyeru kepada kebaikan, layakkah kita tidak sabar dalam bersabar?