Follow Me on Twitter

Monday, May 16, 2011

Kasih Allah dan Rasul-Nya, formula kasih manusia

Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w,

“Bilakah akan berlaku hari kiamat ya Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w tidak menjawab, sebaliknya menyoalnya semula,

“Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapinya?”

Lelaki itu menjawab, “Aku tidak menyediakannya dengan banyak mendirikan solat dan berpuasa, tetapi aku menyediakannya dengan hati yang kasih kepada Allah dan dirimu.”

Mendengar jawapan itu, baginda bersabda, “Seseorang itu akan bersama dengan siapa yang dikasihinya di akhirat kelak.”

(Kisah ini diriwayatkan Imam al-Bukhari, hadis no. 3688)

Jawapan lelaki itu ternyata merupakan jawapan yang paling tepat dan menyeluruh. Kerana dengan mengasihi Allah dan Rasul-Nya, maka secara automatik kita akan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dengan mengikut apa yang disunnahkan Nabi Muhammad s.a.w dan menjauhi apa yang ditegahnya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Surah Ali ‘Imran: 31

Apabila mengasihi Allah dan Rasul-Nya, secara automatik kita juga mengasihi manusia lain, mengeratkan silaturrrahim, menghormati mereka malah menghargai apa yang dilakukan manusia lain terutamanya mereka yang pernah mendidik kita.

Maka, sempena Hari Guru ini, aku hadiahkan ayat al-Quran di atas kepada semua guru dan pendidik. Anda pastinya dikasihi kerana membimbing kami menjadi khalifah di muka bumi ini.