Follow Me on Twitter

Tuesday, May 3, 2011

Kebaikan itu sia-sia?

“Apa  gunanya kalau saya membaca al-Quran tapi tidak memahaminya? Tanya seorang murid kepada gurunya.

“Bacalah dahulu, perlahan-lahan nanti Tok ajar maknanya,” jawab Tok Guru.

Hari demi hari. Bulan demi bulan. Lama-kelamaan murid tadi berasa jemu dan datang menemui gurunya semula.

“Saya rasa membaca al-Quran tanpa memahami maknanya adalah tidak berfaedah,” katanya.

“Baiklah. Tok nak kamu lakukan pekerjaan yang lebih bermakna. Ambil raga ini, cedok air di sungai dan curahkan air itu ke dalam kolah madrasah kita.” Kata Tok Guru.

Si murid berasa teruja. Pasti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku. Maka dia segera ke sungai dan mencedok air dengan raga, kemudian berlari-lari untuk mengisi air ke kolah. Tetapi setibanya di kolah, air dalam raga telah habis, keluar menitis dari celah-celah raga yang jarang. Dilakukannya berulang kali, hasilnya tetap sama.

“Tok, perbuatan ini lebih tidak bermakna. Raga ini sepatutnya digantikan timba.”

“Setiap yang Tok suruh ada maknanya,” kata Tok Guru.

“Apa maknanya Tok?”

“Menimba air dengan raga samalah dengan membaca al-Quran walaupun tidak memahami maknanya.”

“Sama-sama tidak berfaedah.Begitu?”

“Tidak, sama-sama ada faedahnya,” pintas Tok Guru.

“Cuba kamu tengok, raga yang kamu gunakan tadi. Pada asalnya kotor, tapi kini sudah bersih bukan? Air di kolah tidak penuh tapi raga itu sudah bersih. Betul?”

“Betul Tok,” si murid mengiakan.

“Begitulah juga hati kamu ketika membaca al-Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya, tetapi paling tidak hati itu dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan.”

Sumber
Solusi, #6.

Jika sebelum ini aku pernah katakan bahawa membaca al-Quran perlu disertakan dengan kefahaman tentang maknanya, ia bukanlah bermaksud kita hanya boleh mula membaca apabila dapat memahami maknanya.

Bacalah al-Quran, walaupun tidak memahaminya. Ia merupakan kalam Allah yang menyucikan hati. Kemudian,berusahalah untuk memahaminya.

p/s: Tidak ada kebaikan yang sia-sia.