Follow Me on Twitter

Wednesday, May 11, 2011

Nak lawan arahan big boss?

“Tauke, apa pasal kedai ni jadi kosong?”

“Itu hari rabu ada operasi”

Oh, operasi rupanya. Premisnya nampak kosong. Jika tidak pasti tersusun dvd dan cd di setiap ruang dinding. Aku jangkakan tiada apa yang berlaku, kerana dia masih boleh beroperasi dengan lancar. Stok dvd original masih dipamerkan. Begitu juga dengan stok dvd yang hampir kepada original.

Tiada apa yang nak ditakutkan. Sudah lama premis itu beroperasi. Dan ia tetap beroperasi sekalipun undang-undang ciptaan manusia itu dipinda banyak kali. Ya, dipinda. Itulah salah satu perbezaan antara undang-undang manusia dan undang-undang yang disyariatkan Allah. Dan bila mana undang-undang Allah disebut, pastinya ‘hudud’ sudah bermain dalam pemikiran setiap orang.

Apakah hudud? Dan apakah kesalahan jenayah hudud?

Hudud adalah hukuman yang ditetapkan Allah bagi kesalahan jenayah tertentu, ditentukan dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Jenayah hudud melibatkan 7 kesalahan, iaitu zina, qazaf (menuduh orang zina), minum arak, mencuri, merompak, murtad dan pemberontakan.

“Kalau tangan kena potong macam mana nak kerja?”

Soalan itu hanya berupa alasan lalu menampakkan kebodohan. Adakah semua orang mencuri hingga perlu dikenakan hudud? Kenapa ‘pakar ekonomi’ jadi begitu risau? Adakah ini bermaksud para pekerja di sektor ekonomi paling kurang pun seorang perompak?

Hebat bukan? Baru disebut sahaja ia sudah menakutkan. Hudud sebagai sebahagian undang-undang Allah memang bersifat mencegah berbanding undang-undang ciptaan manusia. Ia adalah tetap dan tidak berubah sekalipun bertukar pemerintah. Malah ia sesuai dengan fitrah manusia yang terkesan dengan sesuatu yang segera dan cepat.

Contohnya, seorang mat motor berubah setelah melihat kematian rakannya di depan mata. Ia berlaku dengan pantas. Begitulah juga dengan hukuman hudud misalnya, berlaku dengan pantas, merawat jiwa si pelaku, dan merebak segera dengan mencegah orang lain.

Ia berbeza dengan undang-undang manusia yang berjalan perlahan dan tertangguh, misalnya penjara, malah kadangkala tidak terkawal dan hanya menurut emosi, bila mana manusia bertindak mengikut hukum sendiri.

“Siapa yang cilok iPad2 aku ni! Aku dapat aku cincang-cincang tangan dia!”

“Woi, mak bapak tak ajar ke jangan meragut? Jom kita belasah biar mampos wei!”

“Kite bako! Kite bako!”

Dahsyat kan bila manusia mahu menghukum? Tapi masih ada juga yang kata hudud yang penuh hikmah itu kejam. Bila melibatkan kepentingan sendiri, baru menyokong hukum Allah.

Rujukan
Dr. Muhammad Naim Yasin, al-Wajiz fil Fikh al-Jana’i al-Islami.

Inspirasi
Qarinah sebagai ganti 4 saksi - Dnobiz

p/s: Bukan menolak undang-undang manusia, tetapi utamakan hukum Allah dan kemudian barulah takzir iaitu hukuman pemerintah, kerana ia juga berkesan. Manusia memang takut sesuatu yang tidak difahaminya...