Follow Me on Twitter

Wednesday, May 4, 2011

Syaitan pun tahu

Lan begitu bersemangat mengenakan baju rayanya. Tak sabar rasanya untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya. Berdebar juga rasa hatinya. Maklumlah cuma setahun sekali dia ke masjid. Kalau setahun dua kali raya, mungkin dua kali.

*****

Kadangkala kita lupa keutamaan kita sebagai muslim.

Ada yang utamakan solat sunat hari raya daripada solat fardu Jumaat.
Ada yang utamakan keuntungan perniagaan daripada anak yang merupakan ‘pelaburan’.
Ada yang utamakan hujah dan pendapat daripada perpaduan dan ukhuwah.
Ada yang utamakan bangun pagi ke kerja daripada bangun solat Subuh.

Semua ini untuk peringatan diri ini juga. Kita perlu tahu apa amalan yang perlu diutamakan. Bertanyalah pada yang arif dan penuhkan ilmu di dada.

Pernahkah dengar kisah syaitan yang mengetahui keutamaan amal?

*****

Dikisahkan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah hampir terlewat bangun Subuh akibat keletihan. Melihatkan keadaan itu syaitan menyamar menjadi seekor kucing dan menggigit ibu jari Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.

Maka Syeikh Abdul Qadir pun terbangun. Mujurlah waktu Subuh baru sahaja masuk. Dan dalam pandangan mata hatinya, Syeikh melihat rupa sebenar syaitan di sebalik bentuk kucing itu.

“Mengapa kau kejutkan aku sedangkan kau benci orang yang solat?” soal Syeikh kepada syaitan.

“Aku bimbang jika kau terlewat bangun Subuh,” jawab syaitan.

Kehairanan, Syeikh bertanya lagi, “Kenapa?”

“Aku bimbang kau akan menampung kelewatan itu dengan amalan yang lebih banyak dan serius,” jawab syaitan.

Sambungnya lagi, “Kau akan bersedekah. Kau akan membantu orang lain. Kau akan membaca al-Quran dengan banyak. Maka bertambah banyak dan sukar kerja kami nanti. Lebih baik kau solat Subuh tepat pada waktunya, dan kami tidak perlu menghadapai banyak kerja untuk menyekat amalanmu nanti!”

Sumber kisah
Solusi, #23

p/s: Syaitan pun tahu…jadi kita kena lebih cerdik dari syaitan…