Follow Me on Twitter

Tuesday, June 28, 2011

Israk Mikraj: Tiada masalah bagi yang beriman

Sempena meraikan peristiwa Israk Mikraj yang dialami Nabi Muhammad s.a.w pada 27 Rejab, maka ingin aku kongsikan secara ringkas kronologi peristiwa tersebut melalui peta minda.


Sebenarnya ini masih kurang. Yang lebih terperinci ada di blog Denaihati.

Mengapa peristiwa Israk Mikraj ini berlaku?

Ini sebagai penghibur hati baginda, Nabi Muhammad s.a.w yang ketika itu telah pun kehilangan bapa saudara serta isteri kesayangan baginda pada tahun ke 10 kenabian, dua tahun sebelum peristiwa ini berlaku. Maka diperlihatkan kepada baginda oleh Allah, kerajaan Allah Yang Maha Berkuasa, serta janji-janji Allah buat hamba-hamba-Nya.

Apakah simbolik Buraq?

Buraq yang ditunggang Nabi Muhammad s.a.w, mampu bergerak pantas hinggakan dalam satu malam sahaja baginda bergerak dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis, malah ke Sidratul Muntaha. Ia adalah satu teknologi canggih yang tidak boleh ditandingi mana-mana ciptaan manusia.

Apakah simbolik dada Nabi dibelah?

Ya, sebelum perjalanan dimulakan, dada baginda dibelah dan dibersihkan segala kotoran serta diberikan hikmah dan ilmu pengetahuan. Ini boleh jadi kerana baginda ketika itu bakal berdepan dengan teknologi yang sungguh tinggi ciptaannya iaitu kelajuan Buraq serta tayangan balasan-balasan kejahatan.

Simboliknya pada kita, yang kini berdepan dengan teknologi yang saban hari semakin canggih dan adakalanya melampaui batas, agar bersedia menghadapi perkembangan ini dengan hati yang bersih dan akal fikiran supaya teknologi tidak disalahgunakan.

50 waktu solat bertukar 5?

Nabi Musa a.s mengatakan umatnya yang lebih kuat pun tidak mampu menunaikan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam. Atas sebab itu Nabi Musa a.s menyuruh baginda menghadap Allah semula, memohon agar jumlah itu dikurangkan. Setelah 9 kali ulang-alik, dan dikurangkan 45 waktu, maka tinggallah 5 waktu solat sehari semalam sebagai kewajipan yang perlu kita tunaikan.

Benarkah ada yang murtad setelah peristiwa ini?

Tidak benar. Kenapa mesti orang yang sanggup diseksa demi kebenaran Islam tiba-tiba berpaling hanya kerana peristiwa ini dikatakan satu penipuan? Jika sebelum ini mereka hanya mendengar daripada Nabi tanpa sebarang bukti malah mempercayai baginda dengan sepenuh iman, mengapa pula dengan adanya bukti mereka perlu berpaling?

Malah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq sendiri berkata, “andai ianya datang dari Muhammad, jika berlaku lebih dari itu aku tetap mempercayainya.” Ini sebagai tanda, bahawa jika ia datangnya dari Islam, sudah termaktub di dalam al-Quran, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi melainkan isu-isu baru yang perlu kepada perbincangan para ilmuwan.

Sekian sahaja mengenai Israk Mikraj. Masih kurang lengkap sebenarnya tapi ia adalah kerana kekurangan aku sendiri yang kurang membaca sumber-sumber lain. Namun, diharap dapat memahami apa yang disampaikan.

Rujukan
Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w, Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.
Beduk Diketuk, Pahrol Mohd Juoi.

p/s:Jika ada tambahan, silakan. Jika ada kesilapan, perbetulkan.