Follow Me on Twitter

Friday, June 17, 2011

Selamatkan daripada perpecahan

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a,  daripada Nabi Muhammad s,a,w, baginda bersabda:

“Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Wahai sahabat-sahabatku, masih ingatkah lagi dengan apa yang aku pernah tulis sebelum INI? Maka kisah ini adalah kisah lanjutannya. Kisah mengenai Abdullah bin Ubai yang tidak mahu berlaku perpaduan di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin.

Abdullah bin Ubai kemudiannya cuba mengapikan kaum Ansar dan Muhajirin namun cubaannya gagal. Lalu dengan perasaan marah, terhamburlah kata-kata dan ungkapan bahawa Nabi disamakan dengan satu pepatah, ‘gemukkan anjing kamu dan biar ia menggigit kamu’.

Kata-kata yang bertujuan menghina Nabi itu didengari jelas oleh Zaid bin Arqam lalu dia mengadukan hal tersebut kepada baginda, Nabi Muhammad s.a.w.

Apa yang dilakukan Abdullah bin Ubai?

Dia datang ke hadapan baginda untuk membela diri, dan pastilah dia menafikan sekeras-kerasnya ucapan itu. Dan penafian itu diterima oleh baginda.

Bagaimana dengan Zaid bin Arqam? Adakah apa yang disampaikannya tadi tidak benar?

Memang benar wahai sahabat. Malah Allah menurunkan ayat al-Quran, ayat 1-8, surah al-Munafiqun bagi membela Zaid bin Arqam, juga sebagai pengajaran tentang kerenah orang yang berdusta. Tapi mengapa pada awalnya aduan Zaid itu tidak diterima baginda?

Ini kerana pada awalnya Nabi Muhammad s.a.w tidak mahu memburukkan keadaan dengan sesuatu yang kurang jelas. Ya, hanya Zaid sahaja yang mendengarnya. Lebih-lebih lagi bila Abdullah bin Ubai menafikan sekeras-kerasnya hal itu.

Lantas, bagi menghilangkan fokus para sahabat terhadap kes itu, baginda mengarahkan semua kaum muslimin pulang ke Madinah. (Kejadian berlaku ketika mereka pulang dari Perang Bani Mustaliq)

Siapakah yang kemudiannya bertemu baginda?

Usaid bin Hudhair, dari kaum Ansar dan salah seorang ketua suku Aus berasa bimbang baginda murka dengan Abdullah bin Ubai.

“Wahai Rasulullah, kasihanilah kepadanya. Sewaktu tuan datang kepada kami, kaumnya telah bersiap-siap dengan mahkota rotan untuk memahkotakannya. Tiba-tiba dia melihat seakan-akan tuan merampas kerajaan darinya.”

Sayyidina Umar bin al-Khattab yang bersikap tegas.

“Wahai Rasulullah, izinkan saya memenggal leher munafik itu.”

Baginda menjawab,

“Biarkan dia wahai Umar. Supaya nanti jangan sampai manusia mengatakan Muhammad membunuh sahabat-sahabatnya.”

Abdullah bin Abdullah bin Ubai, anak kepada Abdullah bin Ubai. Dia terdengar berita tentang ayahnya yang mahu dibunuh. Lalu kerana takut dia pula akan membunuh orang yang membunuh ayahnya, maka dia menawarkan diri untuk membunuh ayahnya.

Nabi Muhammad s.a.w berkata, ucapan yang melegakan hati anak Abdullah bin Ubai.

“Jangan! Tetapi berbuat baiklah kepadanya.”

Apa yang diselamatkan?

Ya. Semua yang dilakukan dan diucapkan Nabi kita itu punya satu tujuan. Iaitu mengelakkan perpecahan di kalangan kaum Muslimin. Malah dalam perjalanan pulang itu baginda sempat menganjurkan perlumbaan unta dan semua para sahabat menjadi gembira.

Bolehkah kita pula mencontohi baginda? Elakkan perpecahan walau apa jua perbezaan?

Rujukan: Edisi Lengkap Riwayat Rasulullah s.a.w nukilan Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi.