Follow Me on Twitter

Friday, June 24, 2011

Sikap sabar nadi kebaikan

Entri ini terhasil melalui cetusan idea semasa aku menonton semula tayangan filem Kungfu Hustle di slot Pearl Screen, TV3 Isnin lepas. Kalau tak silap, filem Stephen Chow ini memang merupakan satu fenomena ketika kemunculannya. Memandangkan Stephen Chow sendiri sudah dikenali melalui filem Shaolin Soccer sebelum itu.


Tetapi aku bukanlah mahu memfokuskan kepada filemnya. Melainkan beberapa pengajaran yang aku dapati dalam filem itu. Antaranya pendirian Chow sebagai watak utama yang tidak mahu membuat kebaikan kerana baginya tiada guna berbuat kebaikan melainkan hanya dibuli sewaktu kecil.

Adakah mudah melakukan kebaikan?

Ya. Cuma agak sukar untuk kita terus melakukannya melainkan kita tergolong dalam golongan orang yang sabar. Sabar itu dinilai apabila kita terus mentaati Allah walau apa jua yang berlaku. Itulah sabar menurut Islam. Termasuk juga sabar dalam meninggalkan maksiat (pesanan untuk diri ini juga)

Contoh: A kebiasaannya akan mengaji al-Quran selepas maghrib. Tapi disebabkan perlawanan bola Inggeris itu bermula pada pukul 7.40 malam, maka dia meninggalkan urusan kebiasaannya (boleh terkena batang hidung sendiri)

Contoh: B berbuka puasa dengan penuh kesyukuran. Moga-moga lapar dan dahaganya diganti dengan pahala, fikirnya. Selesai menjamah juadah berbuka, dia lantas menyalakan sepuntung rokok. Fuh...leganya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
Surah az-Zumar: 10

Seterusnya dalam filem tersebut, Chow akhirnya memilih jalan kebaikan, apabila dia memukul kepala Fo Wang, watak antagonis yang mempunyai kemahiran kungfu yang hebat.

Hipokritkah bila buat kebaikan?

Firman Allah yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”
Surah an-Nahl: 90

Allah sukakan kebaikan malah Allah melarang kita berbuat kejahatan. Maka, apabila kita berbuat kebaikan, ia tidaklah boleh dianggap sebagai hipokrit. Kita hanya cuba untuk kembali kepada fitrah. Dan jika ada yang tidak sukakannya, apa lagi yang kita mahu jika Allah sukakannya? Persoalan lebih penting, mampukah kita terus taat pada-Nya?