Follow Me on Twitter

Monday, June 27, 2011

Terima kasih Pak Asraf

Awan-gemawan putih berarak di langit. Cuaca kelihatan baik. Sesekali, matanya mengecil dek kerana silauan matahari terang-benderang. Dari tadi dia asyik mundar-mandir. Menunggu seseorang yang entahkan bila mahu tiba di sebalik orang yang lalu-lalang.

Dia tidak menyedari, bahawa gerak-gerinya sedang diperhatikan seseorang. Mulut orang itu kumat-kamit membaca sesuatu sambil berjalan ke arahnya.

“Encik mahu beli saham saya tak? Mahu beli?”

Dia terkejut apabila orang yang berpakaian compang-camping itu menegurnya. Dengan gopoh-gapah dia berlalu dari situ. Orang itu pula masih bertanyakan soalan yang sama serta kata-kata karut-marut yang tidak difahami. Namun tidak dipedulikan orang yang lalu-lalang.

Kasihan, kurang siuman barangkali, fikirnya. Lantas dia faham bahawa nikmat pemikiran orang itu sudah ditarik-Nya.

Tiba-tiba dia teringat. Solat zohor masih belum dia tunaikan. Sedangkan masa yang dimilikinya milik Allah, yang kelak lambat-laun akan diambil-Nya semula.

Ya Allah, memang sewajarnya hatiku gundah-gulana. Rupa-rupanya aku belum menunaikan kewajipanku sebagai hamba-Mu. Dia bermonolog sendirian lalu menghadirkan diri ke sebuah masjid berhampiran.

*****

Oh, berjaya juga menghasilkan cerita! Bagaimana? Lihat kata ganda bersajak yang digunakan. Kata ganda bersajak ialah kata ganda yang mengalami perubahan bunyi dengan penambahan kata yang berbeza daripada kata dasarnya. Contoh kata ganda itu seperti di atas.

He...cuma mahu berkongsi pengetahuan tatabahasa yang aku perolehi melalui sebuah buku.


Bagus buku terbitan SASBADI ni. Buku setebal 307 muka surat ini merupakan susunan Pak Asraf (Haji Mohd. Asraf bin Haji Abdul Wahab) yang pernah menerima Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Masa.

Memetik kata-kata beliau,

“Bagi masyarakat terbanyak, bahasa hanya suatu alat komunikasi, dan yang penting bagi mereka ialah asalkan orang paham akan bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi. Jika ada antara ahli-ahli bahasa yang berpendapat bahawa jumlah yang terbanyak dapat dijadikan ikutan, maka tidakkah ahli bahasa itu seperti tukang pancing yang dilarikan ikan?”

Jadi, boleh dapatkan buku ini di pasaran. Bernilai untuk dibuat rujukan terutama kepada pelajar-pelajar dan penulis.

Terima kasih Pak Asraf!