Follow Me on Twitter

Thursday, July 7, 2011

Selamat dengan Islam

Islam itu berasal dari kata ‘salam’ atau ‘salamah’ yang bermakna selamat. Maka orang Islam sentiasa berasa selamat malah menyelamatkan. Mengapa pula boleh jadi demikian?

Ini kerana secara asasnya seorang yang beragama Islam sedia mematuhi Rukun Islam dan Rukun Iman. Dua rukun ini jika dipatuhi nescaya menjadikan orang Islam itu berasa selamat malah berpeluang menyelamatkan orang lain mahupun keadaan.

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“lslam itu terbina atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadan.”
Hadis riwayat lmam al-Bukhari dan Muslim

Mari kita bermula dengan Rukun Islam Pertama, iaitu mengucap dua Kalimah Syahadah: “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah”

Renungkanlah. Penyaksian yang telah kita ucapkan itu membuktikan kita mengaku segala zat Allah Yang Maha Suci. Allah Yang Maha Esa serta Maha Mengetahui segala sesuatu. Dan Allah s.w.t pencipta kita, dan kita sebagai hamba-Nya. Kita juga percaya bahawa Allah jualah yang mencipta seluruh alam serta segala isinya.

Dengan itu juga kita percaya bahawa Nabi Muhammad s.a.w pesuruh Allah. Dan baginda mengajak kita ke arah kebenaran, menyembah Allah Yang Maha Esa serta mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.”
Surah al-Dhariyat: 56

Maka, rentetan daripada itu, kita tidak banyak soal untuk melaksanakan baki empat Rukun Islam lagi iaitu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat, serta menunaikan Haji menurut apa yang diperintahkan Allah melalui kalam-Nya dan semua itu punya hikmah tersendiri. Antaranya, solat itu mencegah kemungkaran, dan puasa mendidik nafsu.

Malah kita juga menjaga diri daripada melakukan kemungkaran kerana kita tahu Allah s.w.t sentiasa memerhatikan kita dan setiap apa yang kita lakukan dicatat Malaikat dan bakal menerima balasan di akhirat kelak. Kita juga mematuhi dan mengambil berat setiap peringatan-Nya, juga apa yang disabdakan Nabi Muhammad s.a.w.

Antaranya, firman Allah s.w.t yang bermaksud,

Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara dua saudaramu  (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”
Surah al-Hujurat: 10

Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

“janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka  dan mereka menjadi berpuak-puak. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.”
Surah al-Rum:31-32

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudara Islamnya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Maka, semua itu antara bukti bahawa kita juga sudah melengkapkan Rukun Iman yang enam; Percaya pada Allah, percaya kepada Malaikat, percaya kepada Kitab, percaya pada Rasul, percaya kepada Hari Kiamat, percaya kepada Qada’ dan Qadar.

InsyaAllah, dengan kepercayaan itu, kita selamat dunia akhirat kemudiannya.

Rujukan
al-Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasqi, Intipati Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali